
WASHINGTON: Pegawai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS) bakal dilengkapi sarung tangan yang boleh memberikan kejutan elektrik menyakitkan bagi memaksa individu melawan mematuhi arahan.
ICE merancang membelanjakan sehingga AS$20 juta (RM81.8 juta) untuk membeli ribuan sarung tangan berkenaan bagi kegunaan pegawai dan ejennya menjelang Mac, menurut notis yang diterbitkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) kelmarin.
Peranti itu dikenali sebagai G.L.O.V.E., singkatan bagi Pemancar Voltan Output Rendah Terhasil, dan dihasilkan oleh Compliant Technologies LLC yang berpangkalan di Lexington, Kentucky.
Teknologi berkenaan sebelum ini digunakan oleh beberapa penjara dan jabatan polis di AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
DHS pada Selasa berkata, pihaknya sedang menyediakan respons terhadap pertanyaan Associated Press (AP) berhubung perkara itu dan belum memberikan ulasan lanjut.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Compliant Technologies, Jeff Niklaus, pula berkata menerusi e-mel syarikat itu tidak dapat mengulas mengenai perkara berkenaan.
Menurut notis itu, permohonan bagi kontrak tanpa proses bidaan boleh diterbitkan seawal Jumaat.
Kumpulan pejuang hak sivil menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan itu, dengan menyatakan pegawai ICE sebelum ini sudah berdepan kritikan berhubung penggunaan kekerasan tanpa pemantauan dan akauntabiliti mencukupi ketika melaksanakan tindakan keras imigresen Presiden Donald Trump.
Menurut Compliant Technologies, peranti itu berfungsi seperti sarung tangan rondaan biasa sehingga pegawai menekan suis untuk mengaktifkan mod elektriknya.
Sarung tangan berkenaan perlu diletakkan terus pada kulit seseorang bagi menghasilkan rangsangan kesakitan yang menurut syarikat itu biasanya membantu pegawai mendapatkan pematuhan dalam tempoh beberapa saat.
“Ia berlaku serta-merta dan tajam, serta akan mengalih perhatian anda. Saya menyamakannya seperti sengatan lebah.
“Sekiranya pegawai berdepan sebarang bentuk tentangan daripada individu terbabit, ini sememangnya alat yang berkesan,” kata Presiden Institut Pencegahan Kematian Dalam Tahanan, John Peters, yang sedang mengkaji penggunaan peranti berkenaan.
Peters berkata, beliau menjangkakan pembelian yang dirancang ICE itu berkemungkinan menjadi pembelian terbesar daripada syarikat berkenaan setakat ini.
Katanya, sarung tangan itu berpotensi digunakan pegawai ICE bagi membantu mengeluarkan individu yang enggan bekerjasama dari kereta dan rumah, selain ketika membawa mereka masuk atau keluar dari pusat tahanan.- AGENSI
The post AS belanja RM81 juta beli sarung tangan elektrik untuk pegawai ICE appeared first on Utusan Malaysia.




