
PUTRAJAYA – Isu jerebu rentas sempadan antarabangsa ekoran kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia disifatkan telah menjadi krisis tahunan yang parah dan tidak boleh dianggap sebagai masalah domestik semata-mata.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, impak masalah itu telah melangkaui sempadan negara selain menjejaskan kesihatan awam, melumpuhkan sektor ekonomi, mengganggu pendidikan dan mengancam kelangsungan hidup hidupan liar serta ekosistem serantau.
Katanya, Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) mesti dilaksanakan dengan penguatkuasaan tegas dan segera kerana kelewatan hanya akan menambah penderitaan berjuta-juta rakyat di Asia Tenggara.
Jelasnya, langkah pertama ialah memastikan penguatkuasaan AATHP benar-benar berfungsi dan Pusat Koordinasi ASEAN (ACC) perlu diaktifkan sepenuhnya untuk memantau titik panas secara masa nyata.
“Manakala tindakan perundangan rentas sempadan mesti digubal bagi menghukum syarikat yang menjadi dalang pembakaran, termasuk syarikat asing.
“Lebih penting, negara sumber kebakaran wajib menerima bantuan pemadaman daripada jiran dalam tempoh masa yang ditetapkan sebelum asap merebak, agar krisis dapat ditangani di peringkat awal.
“Selain itu, ASEAN perlu menggerakkan program bantuan bencana dan kemanusiaan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Jelas beliau, Tabung Khas Bencana Jerebu ASEAN harus diwujudkan untuk membiayai operasi pemadaman besar seperti pembenihan awan dan ‘water bombing’.
Ahmad berkata, pasukan khas bomba dan penyelamat serantau mesti bersedia digerakkan ke lokasi kritikal, manakala bantuan perubatan segera seperti topeng N95 serta ubat titisan mata perlu diedarkan ke kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya.
Katanya, pemulihan impak jerebu juga menuntut pendekatan multisektoral contohnya dalam bidang pendidikan yang mana sistem amaran awal sekolah perlu diwujudkan bagi menutup sesi fizikal secara automatik dan beralih ke pembelajaran dalam talian untuk melindungi pelajar.
“Daripada segi ekonomi, pelan mitigasi risiko mesti disediakan bagi sektor penerbangan, pelancongan dan perniagaan terbuka yang terjejas akibat jarak penglihatan terhad.
“Sementara itu, pemeliharaan hidupan liar tidak boleh diabaikan yang mana zon perlindungan khas dan koridor selamat perlu diwujudkan bagi spesies ikonik seperti Orang Utan yang kehilangan habitat dan berdepan ancaman sesak nafas,” katanya.
Katanya, kebakaran tanah gambut juga merosakkan seluruh rantaian dalam sistem asas ekologi.
“Dalam era dunia membincangkan tentang kesihatan planet, perubahan iklim, pencemaran, dan kehilangan kepelbagaian biologi, sepatutnya seluruh dunia memberikan perhatian serius.
“Sudah lama dan berulang kali isu jerebu dan pembakaran hutan berlaku, namun dunia hanya bercakap ritorik di pentas antarabangsa tanpa tindakan jitu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ASEAN tidak boleh tolak ansur, isu jerebu perlu tindakan segera appeared first on Kosmo Online.






