Aset jalan negara semakin ‘tua’, jadi cabaran keselamatan

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 12:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Aset jalan negara semakin ‘tua’, jadi cabaran keselamatan

GOMBAK: Keadaan aset jalan raya di negara ini yang semakin ‘tua’ menjadi antara cabaran utama kerajaan dalam memastikan tahap keselamatan jalan raya terus terjamin. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebahagian jalan raya di negara ini sudah berusia dan tidak lagi mempunyai kekuatan sama seperti ketika mula dibina sehingga lebih mudah mengalami kerosakan.

Menurutnya, keadaan itu perlu diambil kira termasuk dalam menentukan keupayaan jalan menampung kenderaan berat selain tidak boleh sewenang-wenangnya meningkatkan had berat tanpa melihat keadaan sebenar infrastruktur.

“Aset jalan di negara kita ni kita tidak boleh dinafikan sudah jauh menua atau aging. Jadi tidak berapa kukuh lagi untuk menampung keperluan kenderaan berat yang zaman moden sekarang. 

“Akan tetapi kita tidak bolehkan naikkan had berat itu begitu saja tanpa ambil kira apa jalan kita yang sudah tua, yang kurang kukuh lagi.

“Itu (aset jalan) adalah salah satu faktor yang diambil berat untuk kita berusaha untuk mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Terowong Ketiga dan Pelebaran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, di sini hari ini.

Alexander berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan keselamatan jalan raya yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius statistik kematian akibat kemalangan jalan raya yang masih tinggi dengan kira-kira 18 nyawa dilaporkan terkorban setiap hari di seluruh negara berdasarkan data Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Banyak strategi telah dibentangkan dan dipersetujui untuk kita mengurangkan kejadian kemalangan serta kehilangan nyawa.

“Semuanya merupakan elemen atau faktor yang perlu diambil kira dalam usaha kita mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha membaik pulih dan menyelenggara jalan raya memerlukan sumber kewangan serta teknologi yang mencukupi namun peruntukan kerajaan mempunyai batasan dan perlu mengambil kira kemampuan ekonomi negara.

Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu mencari pendekatan lebih inovatif termasuk memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan kerja pembinaan serta penyelenggaraan.

“Kita mestilah lebih inovatif dan resourceful. Kita gunakan teknologi digital ataupun AI dan sebagainya.

“Sebab itu kita mahu pemain industri, sama ada penyenggara jalan mahupun pembina lebuh raya, mengadaptasi teknologi digital supaya kerja dapat dibuat dengan lebih efisien dan cekap tanpa memerlukan pertambahan dana yang terlalu besar,” katanya.  – UTUSAN

The post Aset jalan negara semakin ‘tua’, jadi cabaran keselamatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved