Ashari terajui pembangunan Iskandar Malaysia sebagai CEO IRDA mulai 1 November

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 4:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ashari terajui pembangunan Iskandar Malaysia sebagai CEO IRDA mulai 1 November Image from: Ashari terajui pembangunan Iskandar Malaysia sebagai CEO IRDA mulai 1 November liza21/10/2026 - 16:12 Ashari Kasnan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) melantik Datuk Ashari Kasnan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 November 2026, menggantikan Datuk Mohd Noorazam Osman yang memegang jawatan itu sejak 1 Januari 2025.

 

IRDA dalam satu kenyataan memaklumkan, Ashari akan menerajui usaha memudah cara pelaburan strategik, meningkatkan daya saing ekonomi wilayah serta menggalakkan pertumbuhan yang seimbang, inklusif dan mampan.

 

Pelantikan itu dibuat ketika Iskandar Malaysia terus memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi Johor, termasuk sebagai kawasan tumpuan pelaburan dan penyelarasan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

 

Sebelum pelantikan terbaharu itu, Ashari berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Johor State Biotechnology and Biodiversity Corporation serta J-Biotech Holdings Sdn Bhd.

 

Pengalaman lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam Johor

Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam negeri Johor, merangkumi bidang pentadbiran tanah, pentadbiran daerah, pembangunan institusi, keusahawanan dan pembangunan ekonomi.

 

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau termasuk Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor bagi Pembangunan, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Johor serta Pegawai Daerah Mersing.

 

Ashari turut mempunyai pengalaman terdahulu dalam IRDA apabila berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Negeri agensi itu dari Januari 2016 hingga Disember 2017.

 

Tumpuan kepada pembangunan Iskandar Malaysia

IRDA ialah badan berkanun persekutuan di bawah Kementerian Ekonomi yang bertanggungjawab merancang dan memudah cara pembangunan wilayah ekonomi metropolitan Iskandar Malaysia.

 

Agensi itu turut bertindak sebagai penyelaras utama bagi Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, yang menjadi antara kerangka kerjasama ekonomi antara Johor dengan Singapura.

 

Menurut IRDA, dalam peranan baharunya, Ashari akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan keutamaan pembangunan jangka panjang Iskandar Malaysia, selain memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved