Askuzaimey hadiahkan emas Hari Merdeka

2 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Askuzaimey hadiahkan emas Hari Merdeka

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 menjadi lebih bermakna buat atlet boccia negara, Noor Askuzaimey Mat Salim apabila menghadiahkan Malaysia gelaran Juara Dunia di Seoul, Korea Selatan, semalam.

Lebih istimewa, kejayaan itu hadir tepat pada ulang tahun perkahwinannya, menjadikan emas Kejuaraan Dunia Boccia 2026 sebagai hadiah paling manis buat dirinya dan keluarga.

Noor Askuzaimey mencipta sejarah selepas menewaskan wakil Hong Kong, Yuen Cheung 5-3 dalam aksi final individu wanita kategori BC4 yang berlangsung sengit.

Beliau tidak menyangka mampu menamatkan saingan sebagai juara, sekaligus menyifatkan kejayaan itu sebagai rezeki yang cukup besar dan hadiah buat seluruh rakyat Malaysia.

“Syukur Alhamdulillah, Allah sentiasa bersama saya dan Dia tahu apa yang saya rasakan. Saya sangat gembira dengan rezeki yang tidak dijangka ini.

“Terima kasih kepada keluarga, jurulatih serta seluruh rakyat Malaysia. Kejayaan ini adalah hadiah untuk rakyat Malaysia sempena Hari Kemerdekaan.

“Kebetulan hari ini juga ulang tahun perkahwinan kami, jadi sambutannya pasti lebih berseri,” katanya menerusi laman World Boccia.

Kemenangan itu turut memastikan lagu Negaraku berkumandang megah di bumi Korea Selatan, selain menghadirkan pingat emas tunggal negara dalam saingan kategori individu pada kejohanan berkenaan.

Kejayaan tersebut juga menjadi penebus kekecewaan atlet negara itu di Sukan Paralimpik Paris 2024 apabila beliau terpaksa berpuas hati di tempat keempat. – UTUSAN

The post Askuzaimey hadiahkan emas Hari Merdeka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved