amree12/10/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt – Astral Asia Berhad menerima deposit interim kira-kira RM2.34 juta daripada HNG Capital Sdn Bhd bagi cadangan penjualan tanah seluas 985 ekar di Kuantan Hi-Tech Park, Pahang, yang bernilai RM233.57 juta dan berpotensi dibangunkan sebagai ladang solar.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata deposit berkenaan adalah bersamaan 1% daripada harga pembelian indikatif dan diterima dalam tempoh ditetapkan mengikut memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua pihak sebelum ini.
Cadangan pelupusan aset tersebut dilaksanakan oleh kumpulan itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Astral Asia Plantation Sdn Bhd (AAP), yang memeterai MoU dengan HNG Capital pada 9 Oktober 2026 bagi penjualan tanah berkenaan.
"Dengan penerimaan deposit itu, HNG Capital akan memasuki tempoh eksklusiviti untuk menjalankan usaha wajar menyeluruh merangkumi aspek teknikal, perundangan dan kewangan terhadap tanah berkenaan, selaras dengan terma MoU," kata Astral Asia.
Bagaimanapun, cadangan transaksi itu masih belum dimuktamadkan. HNG Capital boleh menamatkan perjanjian sekiranya hasil usaha wajar berkenaan didapati sebagai tidak memuaskan, tertakluk kepada pelbagai syarat yang ditetapkan dalam MoU.
Tanah berkenaan terletak di Kuantan Hi-Tech Park dan keluasannya bersamaan sekitar 25% daripada keseluruhan kawasan tanah milik kumpulan itu. Cadangan pembangunan ladang solar dan industri tenaga hijau membuka potensi penggunaan baharu bagi aset tersebut.

Sebelum ini, Astral Asia menyatakan cadangan penjualan itu berpotensi untuk membolehkan kumpulan tersebut dapat merealisasikan nilai daripada portfolio hartanahnya serta menyalurkan semula hasil jualan kepada pemerolehan tanah baharu.
Pengarah Urusan Astral Asia, Lim Guan Shiun berkata, cadangan pelupusan itu sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mengewangkan aset hartanah matang dan melabur semula modal bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang perniagaan terasnya.
"Tasja Development Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Astral Asia, mempunyai surat kuasa wakil aktif daripada AAP untuk bertindak bagi pihak unit perladangan itu dalam memudah cara dan merundingkan cadangan transaksi berkenaan," katanya.
Astral Asia berkata pihaknya akan terus memastikan ketelusan dan tadbir urus korporat sepanjang proses transaksi. Pengumuman lanjut akan dibuat kepada Bursa Malaysia sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan perjanjian muktamad dan cadangan pelupusan itu.
Astral Asia merupakan syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan kegiatan perniagaan merangkumi pengurusan perladangan, pelaburan hartanah, pembinaan dan pembangunan hartanah.
Cadangan penjualan tanah itu namun masih lagi tertakluk kepada proses usaha wajar serta terma dan syarat transaksi yang dipersetujui oleh pihak-pihak terlibat. - DagangNews.com






