amree12/10/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt — Deleum Berhad mencadangkan penjualan 86.67% pegangan dalam Deleum Technology Solutions Sdn Bhd (DTS) kepada Ocean Vantage Holdings Berhad pada harga tunai RM13 juta, dalam langkah mengoptimumkan aset dan memberi tumpuan kepada perniagaan strategik.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, anak syarikat milik penuhnya, Deleum Services Sdn Bhd (DSSB) dan Delcom Holdings Sdn Bhd (DHSB), sudah memeterai perjanjian awal atau HOA dengan Ocean Vantage sebagai pembeli pada 12 Oktober 2026.
Ujarnya, menerusi cadangan pelupusan berkenaan, DSSB akan menjual 594,000 saham DTS bersamaan 60% pegangan, manakala DHSB akan menjual 264,000 saham atau kira-kira 26.67%, dengan menjadikan jumlah pegangan yang bakal dilepaskan sebanyak 858,000 saham.
"Harga RM13 juta itu ditetapkan berdasarkan penilaian ekuiti DTS sebanyak RM15 juta bagi keseluruhan 100% kepentingan dalam syarikat berkenaan, tertakluk kepada terma dan syarat perjanjian jual beli saham muktamad yang akan dipersetujui," kata Deleum.
Pada masa sama, pemegang saham minoriti DTS, Datuk Halmi Khalid, yang memiliki baki 13.33% ekuiti, turut memeterai HOA berasingan dengan Ocean Vantage bagi menjual keseluruhan 132,000 saham, dengan kedua-dua urus niaga saling bersyarat antara satu sama lain.
Pihak terlibat bersetuju untuk merundingkan terma perjanjian dan, jika dipersetujui serta mendapat kelulusan lembaga pengarah masing-masing, mereka menandatanganinya dalam tempoh 90 hari dari tarikh HOA atau tempoh lanjutan yang dipersetujui bersama.

Jelas Deleum, DTS, yang diperbadankan pada 12 Oktober 2011, menyediakan perkhidmatan bersepadu berkaitan kakisan dan pemeriksaan, teknologi letupan pelelas, penyelenggaraan serta kerja pembinaan dan pengubahsuaian tangki, vesel, struktur dan sistem paip.
"Cadangan pelupusan itu selaras strategi mengoptimumkan portfolio aset dan merealisasikan nilai pelaburan, selain membolehkan peruntukan modal disalurkan semula kepada perniagaan serta peluang yang ada prospek pertumbuhan dan keterlihatan pendapatan," katanya.
Ocean Vantage namun menyasarkan untuk memperoleh keseluruhan 100% pegangan DTS selepas kedua-duanya selesai. Ia merupakan syarikat tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia yang menjalankan perniagaan penyediaan perkhidmatan dan pelaburan dalam sektor tenaga serta utiliti.
Hasil pelupusan dijangka membantu mengukuhkan kedudukan kewangan Deleum dan memberikan fleksibiliti lebih besar dalam pengagihan modal. Kesan terhadap aset bersih, aset bersih sesaham, tahap hutang, dan pendapatan sesaham hanya dapat diperincikan selepas terma dimuktamadkan.
Ia menjelaskan HOA itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat atau pihak berkuasa kawal selia. Namun, pelaksanaan urus niaga masih tertakluk kepada rundingan dan pemuktamadan perjanjian dengan tiada jaminan transaksi akan disempurnakan.
"Lembaga Pengarah berpandangan cadangan pelupusan itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat, tertakluk perjanjian muktamad yang dipersetujui dan diluluskan. HOA juga boleh ditamatkan melalui notis bertulis sekurang-kurangnya 30 hari oleh mana-mana pihak," katanya. - DagangNews.com






