
Sukan Asia Aichi-Nagoya ketika ini semakin rancak dengan persaingan antara negara yang mengambil bahagian.
Hari ini, seorang atlet e-sukan Jepun berusia 11 tahun mencuri perhatian apabila memenangi pingat emas dalam final permainan teka-teki.
Atlet 11 tahun Jepun menang emas
Kemenangan itu sekali gus menghadiahkan pingat emas e-sukan pertama Jepun dalam temasya berkenaan.

Selepas menewaskan Tanarak Wongkitikun dari Thailand pada separuh akhir, Yuki Kurihara menundukkan Kang Dong Shin dari Korea Selatan dengan keputusan 10-2 dalam acara Puyo Puyo Champions di Tokoname, Wilayah Aichi.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana terdapat ramai penonton yang menyokong dan memberikan sorakan kepada saya. Suasananya sangat menyeronokkan,” kata Kurihara yang merupakan murid Tahun Lima dalam sidang media.
E-sukan mula dipertandingkan sebagai acara pingat pada edisi Sukan Asia sebelum ini di Hangzhou, China.
Pemain termuda
Kurihara mula bermain permainan teka-teki itu ketika berusia enam tahun selepas menerima permainan “Puyo Puyo Tetris 2” sebagai hadiah Krismas.
Pada April lalu, Kurihara menjadi murid sekolah rendah pertama memperoleh lesen profesional yang diiktiraf Japan Esports Union.
Menurutnya, tarikan Puyo Puyo adalah permainan itu boleh dinikmati tanpa mengira usia.
Apa itu Puyo Puyo?
Menurut BBC, Puyo Puyo merupakan permainan teka-teki yang dibangunkan di Jepun dan mempunyai konsep hampir sama seperti Tetris..

Macam mana cara main?
Secara asasnya, pemain perlu menyambungkan empat atau lebih objek berwarna yang dikenali sebagai Puyo untuk menghapuskannya daripada skrin.
Pemain juga boleh menghasilkan tindak balas berantai yang dikenali sebagai “dairensa”.
Ia berlaku apabila satu kumpulan Puyo dihapuskan, menyebabkan Puyo lain jatuh dan membentuk susunan baharu yang kemudian turut terhapus.
Rantaian yang dihasilkan turut memberi kesan kepada papan pihak lawan.
Kurihara sendiri dikenali dengan ketepatan permainannya serta kemahirannya menghasilkan rantaian dan menilai kesannya terhadap papan lawan, lapor The Japan News.
Konsepnya mungkin kelihatan mudah, namun pemain perlu merancang susunan Puyo dengan pantas dan strategik untuk menghasilkan rantaian serta mengatasi pihak lawan.






