PRESIDEN Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengingatkan skuad sepak takraw negara agar tidak leka selepas kejayaan menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih pingat emas acara regu berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Sebaliknya, beliau mahu barisan pemain segera mengalihkan fokus kepada satu lagi misi penting dalam acara regu yang bakal bermula esok.
Beliau berkata, kejayaan menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final semalam sememangnya amat bermakna namun perjuangan skuad "Golden Tigers" masih belum berakhir.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh pasukan sepak takraw negara semalam.
"Kejayaan ini amat bermakna buat seluruh keluarga sepak takraw Malaysia. Ia merupakan hasil kerja keras, disiplin, pengorbanan serta semangat juang tinggi pemain, barisan kejurulatihan, pegawai pasukan dan semua pihak yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan negara," katanya.
Malaysia menamatkan penantian 36 tahun untuk emas acara regu berpasukan lelaki selepas kali terakhir memenanginya pada Sukan Asia 1990 di Beijing.
Mohd Sumali berkata, beliau menyaksikan sendiri kesungguhan pemain yang turun ke gelanggang dengan keyakinan tinggi serta kekal tenang ketika berdepan tekanan.
"Saya melihat sendiri bagaimana pemain turun ke gelanggang dengan penuh keyakinan dan membawa satu tekad, berjuang untuk Malaysia. Mereka tidak mudah mengalah, kekal fokus dalam tekanan dan memberikan segala-galanya demi Jalur Gemilang.
"Namun, perjuangan kita belum selesai. Kita masih mempunyai satu lagi misi penting dalam acara regu. Saya mahu seluruh pasukan terus kekal fokus dan mengejar satu lagi kejayaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia serta peminat sepak takraw yang tidak pernah putus memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan skuad negara.
"Insya-ALLAH, dengan usaha, disiplin, semangat berpasukan dan doa seluruh rakyat Malaysia, kita mampu mencipta satu lagi kejayaan," katanya. - Bernama






