Gilap pelapis seiring kejayaan emas

26 Sep 2026 • 3:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gilap pelapis seiring kejayaan emas
Ahmad Jais (dua dari kanan) menjadi antara nadi penting kejayaan Malaysia mengakhiri kemarau 36 tahun emas acara regu berpasukan Sukan Asia. Foto: Bernama

KEJAYAAN skuad sepak takraw negara menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas acara regu berpasukan Sukan Asia perlu menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pembangunan pemain muda negara.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, pendedahan di peringkat antarabangsa perlu diberikan kepada pemain muda berpotensi bagi memastikan kesinambungan skuad kebangsaan selepas ini.

Katanya, perkembangan pasukan lain seperti Indonesia yang berani mengetengahkan ramai pemain muda menunjukkan Malaysia juga perlu memberi ruang kepada pelapis untuk mendapatkan pengalaman di pentas antarabangsa.

“Kalau kita tengok dari segi prestasi skuad Indonesia, pasukan mereka dianggotai ramai pemain muda yang berpotensi dan berani diketengahkan.

“Jadi, kita juga perlu seiring dengan perkembangan itu supaya kita tidak ketinggalan dalam memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada aksi final, Malaysia menewaskan seteru utama Thailand 2-0 untuk menamatkan penantian 36 tahun bagi meraih emas acara berkenaan, sekali gus mengulangi kejayaan pada Sukan Asia Beijing 1990.

Lebih manis, Ahmad Jais turut merasai semula kejayaan itu selepas 36 tahun, namun kali ini dalam kapasiti berbeza apabila beliau membimbing skuad negara dari luar gelanggang selepas membantu Malaysia meraih emas sebagai pemain pada edisi 1990.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu berkata, beliau tidak mahu kejayaan berkenaan dilihat sebagai pencapaian peribadi, sebaliknya menganggap kejayaan pasukan sebagai perkara paling utama.

“Tumpuan saya sebenarnya bukan mengenai pernah menjadi juara dalam Sukan Asia sebagai pemain dan sekarang sebagai jurulatih, tetapi bagi saya yang paling penting adalah ingin melihat kejayaan pasukan negara dalam perlawanan akhir kerana ia akan memberikan satu suntikan semangat tambahan,” katanya.

Ahmad Jais turut mengingatkan pemain supaya tidak terlalu leka dengan kejayaan itu kerana skuad negara masih mempunyai tugasan dalam acara regu yang bermula Ahad, selain berharap kejayaan tersebut mampu menarik lebih banyak sokongan korporat serta membuka ruang lebih luas kepada pemain muda.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved