Menang Pakistan, Carolan tetap kecewa

26 Sep 2026 • 5:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Menang Pakistan, Carolan tetap kecewa

PETALING JAYA: Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Brendon Carolan kecewa dengan persembahan pemainnya meskipun Malaysia berjaya menewaskan Pakistan 5-4 dalam aksi Kumpulan B Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Kekecewaan Carolan berpunca daripada kelemahan Malaysia mengawal pukulan sudut penalti apabila keempat-empat gol Pakistan dihasilkan menerusi situasi tersebut, dengan kesemuanya disempurnakan Sufyan Khan.

Carolan berkata, barisan pemainnya sudah melakukan persiapan rapi sepanjang tiga bulan bagi memperkemaskan pertahanan pukulan sudut penalti lawan, namun kegagalan mengekang ancaman Pakistan itu amat mengecewakan.

“Saya gembira untuk para pemain. Saya rasa suku ketiga dan keempat bukan aksi terbaik kami sekali lagi.

“Kami sudah melakukan banyak persiapan untuk pertahanan pukulan sudut penalti, jadi agak mengecewakan apabila membiarkan pasukan seperti Pakistan menjaringkan begitu banyak gol menerusi pukulan sudut penalti selepas segala usaha yang kami lakukan.

“Bagaimanapun, saya sangat berbangga dengan ketahanan mental pemain untuk bangkit semula dan mendapatkan keputusan seperti itu walaupun kami mungkin tidak beraksi sebaik yang sepatutnya pada suku ketiga dan keempat,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia terus berada dalam persaingan untuk muncul juara Kumpulan B, dengan aksi terakhir menentang China, Isnin ini, bakal menjadi penentu kedudukan akhir kumpulan.

Carolan berkata, Malaysia tidak boleh mengambil mudah cabaran China yang disifatkannya sebagai pasukan mantap dan pernah memberikan kesukaran kepada skuad negara dalam beberapa pertemuan sebelum ini.

“Jadi, kami perlu membuat persiapan rapi untuk menentang mereka dan menguruskan perlawanan seperti mana kami lakukan terhadap mana-mana pasukan lawan. Kami perlu menghormati mereka kerana ini cabaran yang berbeza berbanding Pakistan,” katanya. – UTUSAN

The post Menang Pakistan, Carolan tetap kecewa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved