
PETALING JAYA: Isu penyediaan makanan di Sukan Komanwel Glasgow 2026 tidak menjejaskan persiapan atlet negara apabila hidangan yang disediakan memenuhi keperluan pemakanan mereka meskipun tidak menepati sepenuhnya cita rasa rakyat Malaysia.
Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, setakat ini tiada sebarang masalah berkaitan makanan yang dihadapi oleh kontinjen negara sepanjang berada di temasya berkenaan.
Menurut beliau, pilihan makanan yang disediakan di Games Village yang beroperasi di hotel agak terhad, namun masih sesuai untuk memenuhi keperluan atlet.
“Kalau hendak kata semuanya sempurna atau dapat mencari makanan Malaysia di sini, memang tidak ada. Makanan yang disediakan di Games Village sebenarnya di hotel agak terhad juga.
“Bagaimanapun, makanan yang disediakan sesuai untuk atlet. Mungkin tidak mengikut selera kita sepenuhnya, tetapi tiada masalah dari segi makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keadaan semasa kontinjen Malaysia yang sedang mengharungi saingan Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Dalam pada itu, Awalan mendedahkan atlet negara turut berdepan beberapa cabaran lain sebelum turun beraksi, namun enggan memperincikan perkara tersebut.
“Memang ada beberapa cabaran yang dihadapi oleh atlet sebelum mereka bertanding, tetapi saya tidak perlulah ceritakan mengenainya.
“Apa yang saya boleh katakan ialah tahap keazaman, kesungguhan dan komitmen atlet untuk menyumbang pingat kepada negara sangat-sangat tinggi dan mereka telah membuktikan kejayaan itu,” katanya.-UTUSAN
The post Atlet Malaysia kekal fokus di Glasgow appeared first on Utusan Malaysia.





![Sukan Komanwel 2026 [LIVE] RTM / Jadual Kontinjen Malaysia](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://ecentral.my/wp-content/uploads/2026/07/sukan-komanwel-2026-819x1024.jpeg)
