Pingat Sukan Asia jadi sasaran Aniq

1 Aug 2026 • 6:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pingat Sukan Asia jadi sasaran Aniq

SEPANG: Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan tidak mahu terlalu lama dibuai kejayaan mempertahankan emas Sukan Komanwel Glasgow apabila mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada misi memburu pingat serta memperbaharui rekod kebangsaan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, September ini.

Atlet berusia 24 tahun itu berkata, tempoh rehatnya juga amat singkat kerana hanya akan meluangkan kira-kira seminggu bersama keluarga di Segamat sebelum kembali menjalani latihan bagi menghadapi temasya terbesar Asia itu.

“Tiada cuti yang sebenar. Walaupun saya pulang ke Johor, saya tetap akan menjalani latihan kerana kejohanan seterusnya ialah Sukan Asia,” katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Aniq mengakui sasaran di Jepun jauh lebih mencabar kerana bakal berdepan barisan atlet bertaraf Olimpik, namun tetap percaya peluang menghadiahkan pingat kepada negara masih terbuka.

“Saya mahu memperbaiki rekod kebangsaan dan melakukan yang terbaik. Pencabar saya semuanya atlet bertaraf Olimpik, tetapi saya tetap akan cuba memburu pingat,” katanya.

Juara kategori 60 kilogram (kg) itu sebelum ini menghadiahkan emas pertama buat kontinjen negara di Glasgow selepas mempertahankan gelaran dengan jumlah angkatan 273kg, selain memperbaharui rekod temasya menerusi angkatan 152kg dalam acara clean and jerk.

Di sebalik tumpuan terhadap Sukan Asia, Aniq mengakui perkara pertama yang ingin dilakukan apabila pulang ke kampung ialah menikmati masakan air tangan ibunya selepas beberapa minggu menjalani latihan di Turkiye dan beraksi di Glasgow.

“Perkara pertama yang saya mahu ialah masakan ibu. Di Turkiye, sarapan kami biasanya roti dan makanan Eropah. Bila balik nanti saya nak makan soto, mi goreng dan semua makanan tempatan yang saya sangat rindukan,” katanya.

Untuk rekod, Sukan Asia nanti menjadi penampilan terakhirnya dalam kategori 60kg sebelum beralih ke kategori 65kg sebagai sebahagian daripada misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028. – UTUSAN

The post Pingat Sukan Asia jadi sasaran Aniq appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved