Aqilah lengkapkan edisi cemerlang angkat berat 

1 Aug 2026 • 9:57 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Aqilah lengkapkan edisi cemerlang angkat berat 

PETALING JAYA: Siti Aqilah Farhana Draman memastikan kem angkat berat negara menutup Sukan Komanwel 2026 dengan sejarah selepas muncul atlet angkat berat wanita pertama Malaysia memenangi pingat perak di Sukan Komanwel.

Aqilah berjaya menghadirkan kilauan perak buat negara selepas menamatkan saingan kategori +86 kilogram (kg) di tempat kedua pada penampilan sulungnya di Glasgow 2026.

Atlet berusia 20 tahun dari Kuala Nerus, Terengganu itu mengumpul angkatan keseluruhan 253kg menerusi 113kg dalam acara snatch dan 140kg bagi clean and jerk, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan miliknya selain mencatat rekod peribadi terbaik.

Lebih membanggakan, Aqilah mengakui beliau langsung tidak meletakkan sasaran tinggi sebelum pertandingan kerana hanya mahu memberikan tumpuan kepada setiap angkatan tanpa memikirkan kedudukan mahupun kemampuan pencabar lain.

“Saya memang tidak menjangkakan akan menang. Kalau ada sasaran pun mungkin sekadar gangsa, tetapi saya tidak sangka dapat meraih perak. 

Bezanya dengan emas pun tidak terlalu jauh. Insya-Allah, empat tahun lagi saya mahu memburu pingat emas,” katanya.

Pingat emas dimenangi atlet England, Emily Campbell yang memperbaharui rekod temasya menerusi jumlah angkatan 278kg, manakala wakil Kanada, Etta Mae Love membawa pulang gangsa selepas mencatat keseluruhan 250kg.

Kejayaan itu turut menyaksikan Aqilah memperbaiki pencapaian terbaik atlet angkat berat wanita negara di Sukan Komanwel, mengatasi dua pingat gangsa yang pernah dimenangi Raihan Yusoff dalam kategori 53kg di New Delhi 2010 dan Irene Jane Henry dalam kategori 48kg di Glasgow 2014.

Sementara itu, Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menyifatkan kejayaan di Glasgow sebagai bukti jurulatih tempatan memiliki kemampuan melahirkan atlet bertaraf dunia apabila diberikan kepercayaan, ruang dan sokongan yang sewajarnya. 

“Kejayaan ini bukti nyata bahawa jurulatih tempatan mempunyai keupayaan untuk melahirkan atlet bertaraf dunia apabila diberikan ruang, kepercayaan dan sokongan yang sewajarnya,” katanya.-UTUSAN

The post Aqilah lengkapkan edisi cemerlang angkat berat  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved