
PETALING JAYA – Selepas tular video dirinya menangis di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akibat kereta mainan kesayangan rosak, seorang kanak-kanak lelaki, Mateen kini kembali ceria selepas mendapat permainan baharu.
Lebih mencuri perhatian, kanak-kanak itu turut menyampaikan ucapan khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Threads yang dikongsikan ibunya, @heylyzarashid_.
Menerusi hantaran tersebut, ibunya memaklumkan Mateen sudah membeli kereta mainan baharu di sebuah reruai pada program berkenaan pada hari kejadian.
Menurutnya, Mateen sangat menyukai kereta bersaiz kecil yang boleh bertukar menjadi robot.
“Ucapan dari Mateen untuk @anwaribrahim_my. Pada hari yang sama Mateen dah beli kereta dekat booth (reruai) kawasan situ.
“Dia suka sangat kereta yang jenis kecil, kereta tu boleh jadi robot tau. Semoga Allah memberi kekuatan, semangat dan kesihatan kepada PMX (Anwar),” katanya.
Hantaran itu turut mendapat perhatian Anwar yang meninggalkan komen balas dengan menitipkan doa buat kanak-kanak berkenaan.
“Alhamdulillah, Mateen jangan menangis lagi ya. Atuk doakan jadi anak soleh, sayang dan dengar cakap ibu bapa, belajar rajin-rajin. Insya-Allah,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan gelagat Mateen yang menangis teresak-esak ketika Anwar menyantuni pengunjung pada Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Shah Alam pada 7 November lalu.
Menerusi video tular, Anwar dilihat membelek kereta mainan Mateen yang patah sebelum menghulurkan wang RM50 bagi membolehkannya membeli permainan baharu. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Atuk, Mateen dah beli kereta baharu’ appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] Najib balik Langgak Duta petang ini?](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-10-at-4.38.34-PM-1024x652.jpeg)




