Audit segera Urusharta Jemaah 

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 6:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Audit segera Urusharta Jemaah 

KUALA LUMPUR: Urusharta Jemaah Sdn. Bhd. (UJSB) perlu diaudit secara menyeluruh bagi memberi gambaran lengkap berhubung aset-aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada syarikat itu selepas penstrukturan semula.

Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) berkata, perhatian tidak seharusnya hanya kepada pengurusan TH sehingga tahun 2020, sebaliknya turut meliputi kedudukan dan pe­ngurusan UJSB selepas tempoh berkenaan.

Menurutnya, masih terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab, khususnya berkaitan struktur sukuk, pembayaran balik sukuk serta kedudukan kewangan UJSB.

“Saya ingin meminta supaya perhatian bukan hanya diberikan kepada pengurusan Tabung Haji sehingga tahun 2020 sahaja. UJSB juga perlu dilihat dan diaudit.

“Adakah tidak memadai sekiranya penyelidikan dan audit hanya berhenti pada tempoh 2014 hingga 2020, sedangkan selepas tahun 2020 terdapat transaksi-transaksi penting yang masih menimbulkan persoalan,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Siti Aminah, antara perkara yang perlu diperjelas ialah pihak yang mengawal dan mengurus UJSB dan apa yang berlaku kepada aset-aset TH selepas dipindahkan kepada syarikat berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan jumlah hasil keuntungan atau pulangan yang dijana daripada aset-aset tersebut selepas dipindahkan kepada UJSB.

“Selepas aset-aset tersebut dipindahkan, siapakah sebenarnya yang mengawal dan mengurus UJSB pada hari ini?,” katanya.

Dalam pada itu, Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berkata, UJSB perlu diaudit segera bagi memastikan pengurusan aset TH yang dipindahkan kepada syarikat itu dilaksanakan secara telus tanpa sebarang transaksi meragukan. 

Katanya, perkara itu penting memandangkan UJSB hanya diaudit sehingga 2020, sedangkan selepas tempoh berkenaan terdapat banyak transaksi yang meragukan terutama membabitkan terbitan sukuk yang tidak dibayar.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan status aset TH bernilai RM9.63 bilion yang dipindahkan kepada UJSB dan diganti dengan instrumen sukuk kupon sifar bernilai RM19.9 bilion bagi membuktikan masalah kewangan TH benar-benar diselesaikan.

“Kita dapat maklumat UJSB lepas ambil alih aset TH mereka buat duit, Tenggara ada dengar dakwaan UJSB untung, mampu bayar bonus kepada pegawai-pegawainya  sedangkan aset yang diambil adalah daripada TH. Adakah perkara ini benar?

“Minta kerajaan jawab jujur, aset itu semua bukan aset busuk,bangkai atau bermasalah tetapi aset hotel, ladang dan sebagainya yang mampu hasilkan keuntungan,” katanya.

Tujuan utama UJSB adalah untuk mengambil alih serta menguruskan aset TH susulan kedudukan kewangan institusi tersebut.-UTUSAN

The post Audit segera Urusharta Jemaah  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved