RCI Tabung Haji: Tiada aset dijual kepada bukan Islam atau China -Zulkifli

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 1:37 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kerajaan menafikan dakwaan bahawa aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada golongan bukan Islam atau kepentingan dari China sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula institusi berkenaan.

Aset berprestasi rendah dan bermasalah

Memetik laporan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menjelaskan aset berprestasi rendah dan bermasalah yang dipindahkan pada 2018 dijual kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

“Tiada aset dijual kepada bukan Islam atau kepada China seperti didakwa pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,”katanya ketika membentangkan penjelasan kerajaan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di Dewan Rakyat.

Aset boleh kembali kepada TH

Menurut Zulkifli, aset bernilai RM9.7 bilion itu dipindahkan kepada UJSB pada nilai RM19.9 bilion sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan bagi menutup jurang aset dan liabiliti TH yang ketika itu berjumlah kira-kira RM10 bilion.

Dalam pengaturan berkenaan, TH turut diberikan Hak Keutamaan Membeli (ROFR), yang membolehkan institusi itu mendapat keutamaan untuk membeli semula aset sekiranya UJSB memutuskan untuk menjualnya pada masa hadapan.

“Ini bermakna aset berkenaan boleh kembali kepada TH sekiranya TH mahu mengambilnya semula,”katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan ROFR tersebut tidak mewajibkan TH membeli semula aset berkenaan kerana sebarang keputusan perlu dibuat berdasarkan penilaian komersial dan kesesuaian aset.

“Sebarang pembelian semula tertakluk kepada penilaian komersial dan kesesuaian aset berkenaan berdasarkan kriteria pelaburan TH,” katanya.

Pemindahan aset bantu selamatkan, memulihkan kedudukan kewangan

Zulkifli menambah, pemindahan aset itu dilaksanakan bagi membantu menyelamatkan dan memulihkan kedudukan kewangan TH susulan krisis yang dihadapi institusi berkenaan.

“Pelan itu bukan diwujudkan kerana kerajaan mahu mengambil aset TH,” katanya.

Image from: RCI Tabung Haji: Tiada aset dijual kepada bukan Islam atau China -Zulkifli

Beliau turut menjelaskan bahawa TH kemudiannya menggunakan pengaturan tersebut untuk memperoleh semula sebahagian aset selepas kedudukan kewangannya bertambah baik.

Antaranya ialah sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dijual pada harga RM400 juta pada 2018 sebelum dibeli semula oleh TH pada harga RM270 juta berdasarkan nilai pasaran semasa.

TH turut memperoleh semula aset perladangan kelapa sawit milik UJ Estates Holdings Sdn Bhd pada harga RM695 juta berdasarkan nilai pasaran, termasuk RM115 juta dalam bentuk tunai, berbanding harga jualan terdahulu sebanyak RM800 juta.

Image from: RCI Tabung Haji: Tiada aset dijual kepada bukan Islam atau China -Zulkifli

Menurut Zulkifli, urus niaga tersebut menunjukkan aset yang dipindahkan menerusi proses penstrukturan semula masih boleh dinilai semula dan diperoleh kembali sekiranya ia berdaya maju dari segi komersial serta memberikan manfaat terbaik kepada pendeposit TH.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan aset TH perlu berpandukan kepentingan pendeposit dan bukannya pertimbangan politik.

“TH bukan milik kerajaan hari ini, kerajaan semalam atau mana-mana parti politik. Ia amanah milik umat Islam Malaysia,”katanya.

Dewan Rakyat hari ini mengadakan persidangan khas sehari bagi membincangkan laporan RCI berkenaan, dengan prosiding dimulakan pada jam 10 pagi menerusi penjelasan Zulkifli, diikuti sesi pertanyaan dan perbahasan Ahli Parlimen.

Laporan setebal 211 muka surat yang diterbitkan pada 29 Julai lalu itu meneliti pengurusan dan operasi TH antara 2014 hingga 2020.

Antara penemuan utama ialah kelemahan tadbir urus termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira secukupnya susut nilai dan penurunan nilai saksama pelaburan.

Laporan itu turut mendapati TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dilaksanakan sepenuhnya.

Sumber: Buletin TV3 (Hakim Mahari dan Luqman Hakim)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved