
Usaha yang ingin diambil untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) ini dilihat tidak mencukupi selagi masih wujud undang–undang yang masih menghalang pelajar, pensyarah dan seluruh rakyat Malaysia daripada tampil berani bersuara, meluahkan pendapat dan melibatkan diri mereka di dalam proses demokrasi iaitu Akta Hasutan 1948.
Sekiranya AUKU dimansuhkan, para pelajar masih lagi tidak berupaya untuk bersuara, meluahkan pendapat dan terlibat dalam proses demokrasi kerana mereka masih boleh disiasat, ditangkap dan didakwa dibawah Akta Hasutan.
Oleh yang demikian, adalah lebih baik dan berkesan sekiranya usaha pemansuhan AUKU ini turut meliputi Akta Hasutan.
Sampai bila kita hendak menggunakan peruntukan undang–undang yang menyekat kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat orang ramai?
Jika pihak kerajaan benar–benar komited untuk meningkatkan taraf hak asasi di Malaysia, mereka mesti bekerjasama dengan masyarakat sivil bagi memastikan dasar–dasar dan amalan diketengah selari dengan undang–undang dan standard hak asasi manusia.
Pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk meneliti dan mengkaji semula peruntukan undang–undang yang dilihat boleh mengekang kebebasan orang ramai untuk bersuara dan meluahkan pendapat seperti Akta Hasutan.
Pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan bagi mengambil langkah untuk meminda atau menggantikan terus Akta Hasutan sedia ada ini dengan sebuah akta baharu yang lebih sesuai bagi memberi lebih banyak ruang kepada rakyat negara kita untuk berani tampil berani bersuara, meluahkan pendapat mereka serta melakukan kritikan membina tanpa rasa takut atau bimbang disiasat, ditangkap dan didakwa oleh pihak berkuasa.
Keadaan serta suasana dalam negara kita pada masa kini telah pun banyak berubah lebih–lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke–14 (PRU14) dan PRU15 yang lalu yang jelas menunjukkan rakyat negara kita inginkan sebuah negara baharu yang ditadbir dengan lebih baik lagi serta memiliki satu bentuk peruntukan undang–undang yang sesuai dengan keadaan dan kehendak masa kini yang tidak menekan mana–mana pihak untuk tampil berani bersuara, memberi pendapat serta kritikan untuk manfaat dan kemajuan negara.
Kebebasan yang diberikan kepada setiap warganegara di Malaysia adalah jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Bahagian II dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan dengan jelas peruntukan mengenai segala aspek mengenai kebebasan asasi setiap warganegara dalam negara kita.
Salah satu bentuk kebebasan asasi yang jelas dilindungi dalam negara kita adalah kebebasan kepada setiap warganegara untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan seperti yang jelas terkandung di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia itu sendiri.
Setiap jenis kebebasan termasuk kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat adalah asas kepada kewujudan demokrasi dalam sesebuah negara serta ia penting bagi menjamin serta melindungi maruah setiap diri manusia itu sendiri.
Kebebasan untuk bersuara, memberi pendapat serta kritikan adalah fitrah yang dikurniakan kepada setiap manusia.
Tidak dapat dinafikan, tidak wujud kebebasan secara mutlak untuk semua jenis kebebasan termasuklah kebebasan untuk bersuara.
Walaupun ia perlu dikawal, ia tidak patut dijadikan sebagai satu bentuk larangan melalui undang–undang seperti Akta Hasutan. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
The post Tiada guna mansuh AUKU selagi ada Akta Hasutan appeared first on Utusan Malaysia.






