
ALUMNI Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK) menyokong usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membangunkan suatu kerangka perundangan baharu bagi pendidikan tinggi negara sebagai pengganti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Hasrat yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, menerusi agenda One Higher Education Act dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035 merupakan langkah penting bagi memastikan undang-undang pendidikan tinggi negara terus relevan dengan keperluan semasa.
AUKU telah mengalami lapan kali pindaan sejak diperkenalkan lebih lima dekad lalu.
Meskipun pindaan tersebut telah membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk berorganisasi, menyuarakan pandangan dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, masih terdapat kebimbangan bahawa kebebasan mahasiswa belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Keadaan ini membuktikan bahawa pembaharuan secara menyeluruh wajar dipertimbangkan.
Negara tidak seharusnya terikat dengan nama atau bentuk undang-undang terdahulu sekiranya suatu kerangka baharu mampu mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih terbuka, progresif dan sesuai dengan realiti generasi mahasiswa hari ini.
Sebagai kelompok yang pernah melalui pengalaman kepimpinan mahasiswa, Alumni MPPK berpandangan bahawa universiti mesti menjadi tempat yang mendidik mahasiswa untuk berfikir secara kritis, berbeza pandangan dengan matang dan memimpin secara bertanggungjawab.
Mahasiswa tidak seharusnya hanya dilihat sebagai penerima dasar sebaliknya perlu diiktiraf sebagai rakan strategik dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.
Oleh itu, proses merangka undang-undang baharu ini hendaklah melibatkan mahasiswa secara langsung dan bermakna.
Pandangan kepimpinan pelajar, alumni gerakan mahasiswa, ahli akademik, pengurusan universiti, pakar perundangan, penggubal undang-undang serta masyarakat sivil perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.
Ruang kebebasan yang lebih luas juga perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab.
Autonomi institusi dan hak mahasiswa hendaklah diperkukuh tanpa mengabaikan prinsip tadbir urus yang baik, integriti, akauntabiliti dan kecemerlangan akademik.
Alumni MPPK berharap pembaharuan ini akan menjadi titik permulaan kepada suatu perubahan yang lebih besar, bukan sekadar pertukaran nama atau penggantian sebuah akta.
Kerangka baharu yang bakal diwujudkan mestilah mampu membina universiti yang lebih demokratik, diyakini warga kampus dan berupaya melahirkan generasi pemimpin yang berani, matang serta berprinsip. – UTUSAN
MUHAMMAD AMIR ASYRAF MOHD SABRI
Presiden Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK)
The post Ekosistem pendidikan tinggi perlu lebih terbuka appeared first on Utusan Malaysia.






