
PETALING JAYA: Sistem pemilihan penghuni kolej kediaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) dipersoal apabila mahasiswa yang mempunyai merit tinggi masih gagal mendapat penempatan.
Suara Siswa UiTM berkata, sistem e-Merit yang mengambil kira pencapaian akademik, kokurikulum dan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti tidak menggambarkan keadaan sosioekonomi serta keperluan seseorang pelajar.
“Kalau mahasiswa yang sudah mempunyai merit tinggi masih tidak mendapat kolej, persoalannya bukan lagi sekadar berapa banyak merit yang diperlukan tetapi siapa sebenarnya yang paling memerlukan penempatan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah berkemungkinan berdepan tanggungjawab keluarga, perlu bekerja sambilan atau tinggal jauh dari kampus yang pada masa sama boleh menjejaskan penyertaan mereka dalam aktiviti untuk mengumpul merit.
“Mahasiswa tidak bermula daripada keadaan yang sama. Ada yang mempunyai kekangan kewangan dan pengangkutan, jadi perkara itu juga sepatutnya diambil kira apabila menentukan siapa yang layak mendapat kolej,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, isu kekurangan kolej kediaman kembali menjadi keluhan dalam kalangan pelajar apabila sebahagian mereka mendakwa terpaksa mencari alternatif penginapan lain selepas gagal mendapat penempatan di kolej kediaman, walaupun telah mengumpul merit yang tinggi.
Suara Siswa UiTM menggesa universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertimbangkan faktor sosioekonomi, jarak kediaman, akses pengangkutan dan keadaan kewangan pelajar dalam sistem penempatan kolej.
“Kalau faktor keperluan digunakan untuk memastikan pelajar mendapat akses kepada pendidikan tinggi, prinsip yang sama wajar diteruskan apabila menentukan sokongan yang diperlukan untuk mereka kekal dalam pengajian,” katanya. – UTUSAN
The post Merit tinggi tak jamin kolej, sistem penempatan UiTM dipersoal appeared first on Utusan Malaysia.






