Mansuh AUKU: Risiko yang perlu diambil kira

LocalPolitics
24 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mansuh AUKU: Risiko yang perlu diambil kira

Risiko strategik pertama ialah kemungkinan reformasi ini dilihat simbolik jika tidak disusuli langkah lanjutan. Kebebasan berpersatuan sahaja tidak menyelesaikan cabaran kebolehpasaran graduan, kualiti pengajaran, atau kos sara hidup mahasiswa.

Namun perlu diakui, kerajaan sendiri telah menempatkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) ini dalam kerangka yang lebih besar iaitu Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang turut merangkumi aspek kebolehpasaran graduan dan kualiti akademik. Ini menunjukkan kerajaan tidak melihat pemansuhan AUKU sebagai penyelesaian bersendirian, tetapi sebagai satu komponen dalam pelan reformasi pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh.

Risiko strategik kedua ialah persepsi bahawa masa pengumuman berkait dengan pertimbangan politik. Walaupun pengumuman dibuat di kongres parti, ini tidak semestinya bermakna dasar itu sendiri tidak wajar atau tidak dirancang rapi.

Malah, boleh dihujahkan bahawa platform kongres parti membolehkan pucuk pimpinan menyampaikan komitmen ini terus kepada akar umbi dan ahli parti yang majoritinya turut terdiri daripada bekas dan aktivis mahasiswa.

Pengumuman ini boleh dilihat sebagai kerajaan menghormati barisan yang telah lama memperjuangkan isu ini, bukan sekadar strategi elektoral semata-mata.

Risiko strategik ketiga ialah jangkaan tinggi rakyat yang mungkin sukar dipenuhi sepenuhnya. Namun risiko ini turut boleh dilihat sebagai tanda keyakinan kerajaan terhadap keupayaannya sendiri melaksanakan reformasi.

Keputusan untuk mengambil pendekatan menyeluruh menerusi cadangan One Higher Education Act (OHEA), berbanding pindaan berperingkat menunjukkan kerajaan mahu menyelesaikan isu ini secara tuntas dan bukan sekadar tampalan sementara.

Risiko Operasi
Risiko operasi pertama ialah tempoh kekosongan perundangan sebelum akta gantian berkuat kuasa.

AUKU berfungsi sebagai akta induk bagi pentadbiran universiti awam, jadi sebarang jurang masa antara pemansuhan dan penguatkuasaan akta baharu perlu diuruskan dengan teliti.

Namun Menteri Pendidikan Tinggi sendiri telah menegaskan keperluan kerangka perundangan baharu yang komprehensif menyusuli pemansuhan ini.

Ini menunjukkan kerajaan sedar akan risiko ini dan sedang merangka penyelesaiannya.

Sekiranya peruntukan peralihan dirangka dengan teliti dalam rang undang-undang (RUU) gantian, risiko kekosongan tadbir urus ini boleh diminimumkan sepenuhnya.

Risiko operasi kedua ialah keperluan proses perundingan yang mencukupi sebelum RUU gantian dibentangkan. Memandangkan AUKU baharu dipinda pada 2024, kerajaan wajar menjelaskan hala tuju akta gantian secara terperinci.

Risiko proses penggubalan RUU baharu memberi ruang kepada kerajaan untuk berunding secara meluas dengan badan mahasiswa, pentadbir universiti dan pakar pendidikan tinggi.

Jika proses perundingan ini dijalankan secara terbuka dan inklusif, akta gantian berpotensi menjadi lebih kukuh dan diterima ramai berbanding pindaan terdahulu.

Risiko operasi ketiga ialah kapasiti universiti untuk menguruskan autonomi baharu yang mungkin diberikan.

Kementerian Pendidikan Tinggi mempunyai rekod menyediakan bimbingan dan latihan tadbir urus kepada universiti awam melalui pelbagai inisiatif sedia ada.

Dengan perancangan pelaksanaan berperingkat, risiko jurang tadbir urus antara universiti besar dan kecil boleh diuruskan dengan baik.

Risiko ini bukanlah alasan untuk menolak reformasi ini, tetapi peringatan supaya pelaksanaannya dirancang dengan teliti.

Rakyat, khususnya mahasiswa, wajar memberi sokongan berhemah dengan menyokong hala tuju reformasi ini sambil terus memantau supaya pelaksanaannya menepati janji yang diberikan. – UTUSAN

DR. ZARUL KHALIFF KAMAL
Universiti Utara Malaysia (UUM)

The post Mansuh AUKU: Risiko yang perlu diambil kira appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved