
SYDNEY: Australia diberi amaran bahawa negara itu terdedah kepada serangan sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun akan datang ketika satu siasatan pertahanan segera dilancarkan bagi meneliti kelemahan negara berkenaan.
Bekas Setiausaha Jabatan Dalam Negeri Australia, Mike Pezzullo memberitahu Daily Mail bahawa tempoh sedekad yang diperlukan sebelum program pertahanan utama seperti AUKUS dapat beroperasi sepenuhnya menyebabkan Australia berada dalam tempoh terdedah kepada ancaman.
AUKUS ialah pakatan keselamatan dan pertahanan antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Sekiranya perang tercetus di rantau ini khususnya antara China dan AS, keadaan itu berkemungkinan membawa bencana kepada Australia dengan sesetengah ramalan menjangkakan konflik di rantau Pasifik boleh tercetus seawal 18 bulan lagi.
“Semua program pertahanan kita dirangka untuk membina satu kekuatan ketenteraan yang besar, yang akan mula beroperasi mulai 2030-an dan seterusnya. Ini bermakna kita akan berdepan tempoh 10 tahun di mana keupayaan yang diperlukan untuk melindungi kita masih belum tersedia,” kata Pezzullo.
“Tempoh terdedah kepada ancaman sedang terbuka, (bekas Perdana Menteri) Kevin Rudd mempunyai teori bahawa (Presiden China) Xi Jinping mungkin memutuskan untuk bertindak terhadap Taiwan selepas pilihan raya presiden negara itu pada Januari 2028, iaitu 18 bulan dari sekarang,” ujarnya.
Amaran itu dibuat susulan pengumuman bahawa sebuah jawatankuasa parlimen baharu akan menyiasat tahap kesiapsiagaan pertahanan awam Australia buat kali pertama sejak Perang Dunia Kedua.
Antara objektifnya ialah menilai bagaimana barangan dan perkhidmatan penting seperti bahan api, ubat-ubatan dan bekalan makanan boleh terus disalurkan kepada masyarakat ketika berdepan konflik berpanjangan.
“Telah diperhatikan bahawa perkara ini sebenarnya tidak pernah kita lakukan di Australia, mungkin sejak Perang Dunia Kedua,” kata Menteri Pertahanan, Richard Marles kepada pemberita di Darwin pada Khamis lalu. – AGENSI
The post Australia terdedah kepada serangan musuh appeared first on Utusan Malaysia.






