
NARATHIWAT (THAILAND): Cadangan autonomi menyeluruh di tiga wilayah Selatan Thai yang diperjuangkan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) belum dibincangkan secara rasmi dalam Proses Dialog Damai Selatan Thai.
Sumber yang rapat dengan Panel Dialog Keamanan Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG) berkata, cadangan berkenaan masih merupakan pendirian BRN dan belum diterima untuk dibincangkan dalam jawatankuasa teknikal kedua-dua pihak.
“Setakat ini tiada (autonomi menyeluruh) dibincangkan. Apa yang disebut itu ialah cadangan BRN, sedangkan butiran mengenai struktur kuasa masih memerlukan rundingan yang meluas.
“Setakat ini, kerajaan dan PEDP/RTG bersedia mengadakan dialog dengan kumpulan pejuang dalam kerangka undang-undang dan Perlembagaan Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Jurucakap Pasukan Perunding BRN, Dr. Nikmatullah Seri berkata, pergerakan itu tidak menuntut kuasa mutlak atau kemerdekaan, sebaliknya mahu pemerintahan berasaskan perkongsian kuasa bagi mentadbir sendiri Patani.
Katanya, cadangan perkongsian kuasa itu merangkumi seorang pemerintah atau wali al-amri, majlis syura dan pentadbir sistem kehakiman syariah yang semuanya akan dipilih oleh rakyat Patani.
Sementara itu, Ketua PEDP/RTG, Thanut Suvarnananda menjelaskan kerajaan sedia membuka pintu seluas-luasnya kepada semua kumpulan pemisah untuk menyertai Proses Dialog Damai Selatan Thai yang akan disambung semula tidak lama lagi.
Katanya, kumpulan terbabit perlu mengambil bahagian sekiranya semua pihak mahu melihat keamanan jangka panjang dan mampan di Selatan Thai.
“Semua kumpulan pemisah dialu-alukan terlibat dalam rundingan damai yang akan berlangsung pada masa depan,” ujarnya.
Thanut berkata, beliau merancang untuk memasukkan PULO dan beberapa kumpulan lain, termasuk Barisan Pembebasan Islam Patani (BIPP) dan Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP@Mujahideen) dalam rundingan dengan kerajaan Thailand. – UTUSAN
The post Autonomi tidak dibincang dalam dialog damai Selatan Thai appeared first on Utusan Malaysia.





