sarah18/11/2026 - 17:32 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov - Avangaad Berhad memperoleh dua kontrak penyewaan kapal tunda bernilai keseluruhan RM12.5 juta pada suku ketiga 2026, sekali gus memperkukuh perniagaan perkhidmatan marinnya di pelabuhan, dengan buku tempahan muktamad kumpulan kini berjumlah RM133.5 juta.
Menurut kenyataan, kontrak itu melibatkan penyewaan sebuah kapal tunda pelabuhan bernilai RM6.69 juta dan sebuah kapal tunda utiliti bernilai RM5.81 juta, masing-masing bagi tempoh awal dua tahun dengan pilihan lanjutan sehingga tiga tahun lagi.
Pengarah Eksekutif Avangaad, Datuk Dr Lai Keng Onn berkata, kontrak berkenaan menyokong strategi kumpulan memperluas perniagaan perkhidmatan pelabuhan yang permintaannya bergantung kepada pergerakan kapal, berbanding aktiviti minyak dan gas (O&G) yang lebih terdedah kepada turun naik harga minyak.
“Dua kontrak kapal tunda bernilai RM12.5 juta yang diperoleh pada suku ini menambah perniagaan perkhidmatan marin pelabuhan kami, iaitu bidang pertumbuhan yang permintaannya bergantung kepada pergerakan kapal dan bukannya harga minyak, di samping kontrak penyewaan kapal O&G,” katanya.
Potensi hasil kontrak dan lanjutan cecah RM413.8 juta
Setakat 30 September 2026, Avangaad mempunyai buku tempahan muktamad sebanyak RM133.5 juta, manakala potensi hasil daripada tempoh lanjutan kontrak berjumlah RM280.3 juta, menjadikan keseluruhan potensi hasil RM413.8 juta berbanding RM415.8 juta pada akhir Jun lalu.
Kumpulan turut memperoleh lanjutan kontrak penyewaan kapal kru laju tanpa anak kapal bernilai RM500,000, dengan kontrak baharu dan lanjutan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset ketara bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan tempoh berikutnya.
Keng Onn berkata, Avangaad akan terus memberi tumpuan kepada pembaharuan kontrak, meningkatkan penggunaan kapal sedia ada dan mengurangkan hutang bagi memastikan kedudukan kewangan kumpulan dapat menyokong pertumbuhan perniagaan.
Keuntungan bersih meningkat 38.7% kepada RM8.5 juta
Dari segi prestasi kewangan, Avangaad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak 38.7% kepada RM8.5 juta bagi suku ketiga 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala hasil kekal stabil pada RM33.3 juta berbanding RM33.5 juta sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai meningkat 14.5% kepada RM7 juta daripada RM6.1 juta, disokong peningkatan kecekapan kos operasi kapal, manakala margin keuntungan kasar berkembang kepada 40.5% daripada 36%, iaitu paras suku tahunan tertinggi setakat tahun kewangan semasa.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat 43.1% kepada RM24 juta, manakala hasil bertambah 1.7% kepada RM97.3 juta. Hutang bersih turut berkurangan 43% kepada RM16.5 juta daripada RM28.7 juta pada akhir 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan. - DagangNews.com





