LAC Med raih kontrak baharu RM21 juta bekal peralatan untuk tiga hospital kerajaan, buku tempahan cecah paras tertinggi RM300 juta

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 6:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LAC Med raih kontrak baharu RM21 juta bekal peralatan untuk tiga hospital kerajaan, buku tempahan cecah paras tertinggi RM300 juta Image from: LAC Med raih kontrak baharu RM21 juta bekal peralatan untuk tiga hospital kerajaan, buku tempahan cecah paras tertinggi RM300 juta liza18/11/2026 - 18:37 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov – LAC Med Berhad memperoleh tempahan bernilai RM21.18 juta bagi membekalkan, menghantar, memasang, menguji dan mentauliah sistem angiografi di tiga hospital kerajaan yang meningkatkan jumlah buku tempahan kumpulan itu kepada lebih RM300 juta.

 

Kontrak yang diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, LAC Medical Supplies Sdn Bhd itu melibatkan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Melaka dan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LAC Med  berkata kontrak berkenaan merangkumi pembekalan sistem angiografi canggih bagi kegunaan kardiologi dan radiologi intervensi di ketiga-tiga hospital terbabit.

 

“Kontrak terbaharu itu meningkatkan buku tempahan kumpulan kepada lebih RM300 juta, iaitu paras tertinggi dalam sejarah syarikat.

 

“Pencapaian itu menyusuli satu lagi kontrak teknologi penjagaan kesihatan yang diumumkan dua hari sebelum ini yang mencerminkan momentum perniagaan kumpulan dalam pasaran penjagaan kesihatan awam dan swasta,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LAC Med, Liew Yoon Poh berkata pencapaian buku tempahan melebihi RM300 juta mencerminkan keyakinan berterusan penyedia perkhidmatan kesihatan terhadap keupayaan kumpulan.

 

Beliau berkata, kejayaan memperoleh kontrak secara berturut-turut turut menunjukkan keluasan penyelesaian teknologi perubatan bersepadu yang ditawarkan kumpulan merangkumi sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta.

 

Projek dijangka siap menjelang suku keempat 2028

Menurut pengumuman itu, tempoh pelaksanaan kontrak adalah selama 24 bulan, dengan satu projek bermula pada November 2026 manakala dua lagi pada Januari 2027.

 

Kesemua projek dijadualkan siap menjelang suku keempat 2028, manakala LAC Med menyasarkan penghantaran lebih awal pada 2027 bagi meningkatkan keterlihatan hasil kumpulan dalam tempoh terdekat.

 

Selepas penyerahan projek, kumpulan itu turut menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan berjadual dan bantuan teknikal sepanjang tempoh jaminan antara 12 hingga 24 bulan.

 

Tempoh jaminan berkenaan turut merangkumi dua hingga empat perkhidmatan penyelenggaraan pencegahan percuma bagi setiap hospital. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved