sarah17/11/2026 - 15:44 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - HeiTech Padu Bhd memperoleh lanjutan kontrak bernilai RM5.18 juta daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi penyelenggaraan sistem Penang Smart Parking, selain memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan tempat letak kereta.
Kontrak lanjutan selama setahun itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2027, merangkumi penyelenggaraan sistem sedia ada serta penambahbaikan teknologi bagi menyokong operasi pihak berkuasa tempatan.
Menurut kenyataan HeiTech Padu, penambahbaikan tersebut melibatkan penggunaan teknologi pengecaman nombor pendaftaran kenderaan secara automatik (ANPR) berasaskan AI bagi membantu MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memantau tempat letak kereta di tepi jalan.
“Pelanjutan kerjasama ini akan menyaksikan pengenalan teknologi pengecaman nombor pendaftaran kenderaan secara automatik (ANPR) berasaskan AI bagi melengkapkan operasi tempat letak kereta sedia ada oleh MBPP dan MBSP,” menurut kenyataan itu.
Kamera AI tingkatkan pemantauan parkir
Syarikat itu berkata, penambahbaikan berkenaan termasuk pemasangan kamera ANPR tetap di lokasi dan jalan strategik yang dilengkapi sistem AI untuk mengira pergerakan keluar masuk kenderaan serta mengenal pasti nombor pendaftaran.
Teknologi tersebut dijangka membantu pihak berkuasa tempatan meningkatkan kecekapan pemantauan tempat letak kereta dan menyokong pelaksanaan penguatkuasaan secara lebih sistematik.
Selain kamera tetap, sistem itu turut menggunakan unit ANPR bergerak bagi membolehkan pemantauan lebih aktif, penghantaran peringatan awal serta aktiviti penguatkuasaan.
Tumpuan kepada kawasan Seberang Perai
Menurut HeiTech Padu, penggunaan unit bergerak itu khususnya penting di Seberang Perai kerana kawasan pentadbirannya yang lebih luas mewujudkan cabaran tambahan terhadap pemantauan dan penguatkuasaan tempat letak kereta.
Sebagai latar belakang, HeiTech Padu sebelum ini turut bekerjasama dengan ACO Tech Sdn Bhd untuk mengintegrasikan aplikasi Penang Smart Parking dengan sistem infotainmen kenderaan Proton, bagi memudahkan pengguna mencari tempat letak kereta dan membuat pembayaran secara digital.- DagangNews.com






