sarah16/11/2026 - 18:26 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov - LAC Med Bhd mencatatkan peningkatan buku tempahan sebanyak 25% kepada RM288.1 juta setakat 15 November 2026, berbanding RM230.5 juta pada akhir September lalu.
Peningkatan itu disokong kontrak baharu bernilai RM28.1 juta bagi membekalkan peralatan pengimejan diagnostik kepada sebuah hospital swasta di utara Semenanjung Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam sektor teknologi perubatan.
Menurut kenyataan syarikat hari ini, buku tempahan itu meningkat sebanyak RM57.6 juta atau kira-kira 25% berbanding RM230.5 juta pada 30 September 2026, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan kepada kumpulan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Kontrak terbaharu itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, LAC Medical Supplies Sdn Bhd, yang akan membekalkan dan mengintegrasikan pelbagai peralatan pengimejan perubatan, termasuk sistem radiologi serta pengimejan kesihatan wanita.
Projek berkenaan turut merangkumi pemasangan perisian, penyepaduan sistem, aplikasi klinikal dan latihan kepada kakitangan hospital, dengan penyerahan dijadualkan selewat-lewatnya Ogos 2027.
Peluang aliran pendapatan berterusan
Selepas penyerahan projek, LAC Med akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan berkala dan bantuan teknikal, sekali gus membuka peluang kepada kumpulan untuk menjana aliran pendapatan berterusan sepanjang tempoh penggunaan peralatan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LAC Med, Liew Yoon Poh berkata, kontrak itu bukan sahaja menambah pelanggan baharu dalam sektor hospital swasta, malah membuka peluang kepada syarikat untuk menawarkan lebih banyak penyelesaian teknologi perubatan apabila keperluan pelanggan berkembang.
“Sebagai penyedia pelbagai penyelesaian, kami mempunyai rangkaian produk yang luas serta kepakaran teknikal untuk memperkenalkan penyelesaian tambahan seiring dengan perkembangan skala dan skop perkhidmatan penjagaan kesihatan pelanggan baharu kami,” katanya.
LAC Med, yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Disember 2025, menyediakan penyelesaian teknologi perubatan kepada lebih 300 pelanggan aktif di Malaysia, dengan lebih 2,600 sistem peralatan perubatan yang telah dipasang. Kumpulan itu turut melihat peluang tender baharu daripada hospital awam dan swasta bagi menyokong pertumbuhan perniagaannya.- DagangNews.com






