Kontrak baharu Inta Bina berpotensi menyumbang untung bersih sekitar RM12 juta - TA Securities

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2025 • 12:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak baharu Inta Bina berpotensi menyumbang untung bersih sekitar RM12 juta - TA Securities

image is not available

13/08/2025 - 12:52

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kejayaan Inta Bina Group Berhad meraih kontrak pembinaan terbaharu berpotensi menyumbang untung bersih sekitar RM12 juta sepanjang tempoh pembinaan.

TA Securities berkata, andaian itu adalah berdasarkan jangkaan margin keuntungan sebanyak kasar sebanyak 6%.

Inta Bina memperoleh kontrak RM264 juta daripada 368 Segambut Sdn Bhd untuk kerja-kerja pembinaan bangunan utama bagi projek apartmen servis mewah yang dinamakan Stellaris Riana Dutamas di Segambut, Kuala Lumpur.

Pembinaan tersebut melibatkan dua blok yang merangkumi 1,143 unit pangsapuri servis, struktur tempat letak kereta bertingkat lapan, serta kemudahan berkaitan. Projek ini akan bermula pada 18 Ogos, dengan tempoh siap disasarkan dalam masa 38 bulan.

Ia merupakan kontrak ketiga yang diperoleh kumpulan itu pada FY25, menjadikan jumlah kemenangan setakat ini kepada RM467 juta, atau 46.7% daripada andaian setahun penuh, kata firma penyelidikan itu.

TA Securities berkata, buku tempahan belum dibil dengan anggaran RM1.7 bilion, mewakili 2.5x hasil pembinaan FY24.

"Walaupun dengan kemenangan kontrak baharu, kami menyemak semula andaian bil kemajuannya bagi mencerminkan masa pengiktirafan hasil daripada kontrak-kontrak tersebut. Kesannya, unjuran pendapatan bagi FY25 telah dikurangkan sedikit sebanyak 5.6%," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu membuat pelarasan pentadbiran terhadap modelnya untuk mengambil kira kesan daripada pelaksanaan skim opsyen saham pekerja baharu, yang membawa kepada pencairan pendapatan sesaham bagi tempoh FY25 hingga FY27.

Katanya, harga sasaran saham telah dikurangkan sedikit kepada RM1 sesaham daripada RM1.06 sesaham, berdasarkan penilaian 11 kali pendapatan tahun 2026 yang tidak berubah.

TA Securities itu mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran (TP) RM1.00 sesaham.

"Kami menyukai Inta Bina kerana syarikat ini merupakan penerima manfaat secara langsung daripada sektor hartanah domestik yang kukuh; mempunyai keterlihatan pendapatan yang tinggi yang disokong oleh buku tempahan yang teguh, serta peningkatan dalam keuntungan," katanya.

Bagi suku pertama berakhir pada 31 Mac 2025 (1QFY25), untung bersih Inta Bina meningkat kepada RM10 juta berbanding RM7.05 juta bagi suku yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM194.6 juta daripada RM159 juta setahun lalu. - DagangNews.com

standard