
KLANG – Kegiatan warga asing menjual ayam hidup tanpa lesen di kawasan premis komersial Jalan Pos Baru, di sini, terbongkar selepas diserbu Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), hari ini.
Lebih mengejutkan, peniaga terbabit didapati menyediakan ruang khas menyimpan ayam hidup sebelum dijual kepada pelanggan.
Difahamkan, aktiviti tersebut dijalankan secara tidak tetap sejak sebulan lalu bagi mengelak dikesan oleh MBDK.
Pengarah Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata, operasi bermula pukul 11 pagi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 14 premis di sekitar kawasan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lima premis mempunyai lesen manakala sembilan lagi tidak berlesen.
“Sebanyak 12 inventori turut diserahkan untuk tindakan sitaan. Dua Notis Niat Batal dikeluarkan atas kesalahan melibatkan pekerja warga asing tanpa permit serta membenarkan warga asing menjaga premis,” katanya hari ini.
Menurutnya, dua kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan beroperasi tanpa lesen dan menimbulkan halangan di tempat awam.
“Selain jualan ayam hidup, aktiviti hiburan karaoke yang beroperasi tanpa lesen turut dikesan dalam operasi berkenaan,” katanya.
Jelas beliau, MBDK akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara berkala khususnya di sekitar Jalan Pos Baru bagi memastikan pematuhan peraturan serta mengelakkan kesalahan berulang. – KOSMO! ONLINE
The post Ayam hidup ‘disorok’ sebelum dijual tanpa lesen appeared first on Kosmo Online.






