Ayam mati direndam air panas sebelum disembelih, 6.5 tan dirampas

30 Oct 2026 • 2:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ayam mati direndam air panas sebelum disembelih, 6.5 tan dirampas

PETALING JAYA – Polis membongkar kegiatan pemprosesan ayam yang diragui status halalnya selepas haiwan itu dipercayai mati akibat direndam dalam air panas sebelum proses penyembelihan dilakukan di sebuah gudang di Puchong, Selangor.

Kegiatan itu terbongkar menerusi Op Taring Chiller kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi yang turut membawa kepada penahanan 12 lelaki warga asing serta rampasan 6,555 kilogram (kg) ayam mentah bernilai kira-kira RM85,400.

Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati terdapat proses pengendalian dan penyembelihan ayam yang menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak serta status halal produk berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati ayam dipercayai melalui proses rendaman air panas (hot water bath) sehingga mati sebelum proses penyembelihan dilakukan.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana kaedah penyembelihan merupakan antara elemen utama yang menentukan status halal sesuatu produk ayam. Proses yang menyebabkan haiwan mati sebelum disembelih menimbulkan persoalan serius terhadap pematuhan hukum syarak dan keperluan pensijilan halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zaki berkata, 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai bekerja dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 468 bungkusan plastik berisi ayam mentah dengan anggaran berat keseluruhan 6,555kg.

“Siasatan awal turut mendapati premis terbabit dipercayai sudah menjalankan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam untuk tempoh yang panjang.

“Bekalan ayam dipercayai diperoleh daripada beberapa ladang sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang sebelum produk yang diproses diedarkan kepada pelanggan termasuk kedai makan, kedai runcit serta pasar raya,” ujarnya.

Tambah Mohd. Zaki, antara kawasan pengedaran dikenal pasti ialah Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana, Putrajaya serta beberapa kawasan lain di Lembah Klang.

Siasatan lanjut kini dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian pembekalan dan pengedaran termasuk jumlah sebenar ayam diproses setiap hari serta pihak yang terlibat.

Dalam pada itu, JAIS mengambil tindakan mengikut Seksyen 3(1)(a) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, manakala JAS Selangor mengeluarkan notis penahanan kelengkapan operasi di bawah Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pejabat Kesihatan Daerah Petaling turut mengeluarkan notis pembersihan susulan ketidakpatuhan aspek kebersihan dan pengendalian makanan termasuk kawalan suhu penyimpanan ayam serta keadaan fizikal premis.

Kesemua 12 warga asing itu pula diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 berkaitan kesalahan imigresen.

Kesemua ayam mentah yang dirampas ditempatkan sementara di pejabat JAIS, Shah Alam untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

The post Ayam mati direndam air panas sebelum disembelih, 6.5 tan dirampas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved