Ayob Khan dedah pernah diintip IS ketika keluar joging

LocalPolitics
25 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Berjaga-jaga terhadap sebarang ancaman keselamatan menjadi sebahagian daripada rutin Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, khususnya sepanjang tempoh beliau menerajui Bahagian Antikeganasan Bukit Aman.

Image from: Ayob Khan dedah pernah diintip IS ketika keluar joging

Memetik laporan Berita Harian, bekas Timbalan Ketua Polis Negara itu menyedari pergerakannya turut diperhatikan pihak tertentu ketika melakukan aktiviti joging di Taman Tasik Perdana.

Menurut Ayob Khan, penyelaras utama kumpulan Islamic State (IS) di Malaysia dipercayai menggunakan media sosial bagi merekrut rakyat tempatan untuk menjalankan tugas mengintip dan memantau anggota keselamatan.

“Mereka memantau pergerakan beberapa pegawai, termasuk Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu.
“Mereka tahu saya berjoging di Taman Tasik Perdana dan KPN ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menyertai konvoi motosikal pada setiap Sabtu.
“Saya mendapat maklumat ini kerana kami juga berada dalam kumpulan itu untuk memantau mereka,” katanya, baru- baru ini

Ayob Khan menerima pengiktirafan di peringkat dalam dan luar negara ketika memimpin Bahagian Antikeganasan Bukit Aman dari 2016 hingga 2020, khususnya menerusi usaha membanteras rangkaian militan serta menggagalkan perancangan serangan pengganas.

Beliau berkata, kedudukan berkenaan menuntut tahap keselamatan yang lebih tinggi, termasuk penggunaan kenderaan kalis peluru, perubahan laluan perjalanan serta sentiasa mengambil tahu keadaan persekitaran.

Malah, ketika berada di restoran, beliau memilih tempat duduk yang membolehkannya menghadap ke luar bagi memudahkan pergerakan individu di sekeliling diperhatikan.

Menurutnya, amalan berwaspada itu antara lain berakar daripada teknik keselamatan yang dibangunkan pasukan keselamatan ketika berdepan ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) sejak 1950-an hingga 1980-an.

Image from: Ayob Khan dedah pernah diintip IS ketika keluar joging

Dalam pada itu, Ayob Khan berpandangan negara memerlukan peruntukan undang-undang khusus bagi menangani ancaman keselamatan serius, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Walaupun SOSMA sebelum ini menerima kritikan dan gesaan agar dimansuhkan, beliau berpendapat akta berkenaan masih diperlukan bagi membolehkan pihak berkuasa menangani ancaman keganasan dan jenayah terancang secara lebih berkesan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sokongannya terhadap SOSMA tidak bermaksud mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara untuk tempoh tidak terhad, dikembalikan.

ISA dimansuhkan pada 2012 sebelum digantikan dengan SOSMA, yang membolehkan seseorang ditahan sehingga maksimum 28 hari bagi tujuan siasatan sebelum didakwa atau dibebaskan.

Ayob Khan berkata, prosedur reman biasa di bawah undang-undang jenayah tidak mencukupi untuk mengendalikan operasi keganasan berskala besar yang melibatkan jumlah suspek yang ramai.

“Ketika saya dalam Bahagian Antikeganasan, bukan seorang saja yang saya tangkap. Dalam tempoh 24 jam, saya pernah menangkap 40 suspek,” jelasnya.

Menurut beliau, tempoh reman selama dua hari sukar untuk dimanfaatkan penyiasat bagi meneliti kesemua barang rampasan, menganalisis telefon bimbit dan komputer riba serta melengkapkan siasatan membabitkan puluhan suspek.

Beliau pada masa sama menegaskan keperluan undang-undang keselamatan yang tegas bagi mencegah ketegangan antara kaum daripada berkembang menjadi konflik lebih serius dalam masyarakat berbilang kaum.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada insiden pergaduhan kaum yang pernah berlaku di Kampung Medan dan Kampung Rawa.

“Struktur masyarakat kita berbeza. Kita tidak boleh begitu sahaja menggunakan model yang diamalkan negara Barat,” tambahnya lagi.

Artikel lain: Pernah tegur! Ayob Khan tegaskan mesin pengimbas canggih tak guna tanpa integriti petugas

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan mengingatkan ahli politik supaya menilai isu keselamatan negara berdasarkan kepentingan jangka panjang dan bukan menjadikannya sebagai pertimbangan politik untuk mendapatkan keuntungan dalam tempoh singkat.

Sumber: Berita Harian

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved