
SIAPA sangka, keheningan awal pagi bertukar menjadi ujian tidak disangka buat Ayu Damit apabila penyanyi popular itu diserang masalah kesihatan secara tiba-tiba seawal jam 3 pagi tadi.
Juara program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua itu terpaksa dikejarkan ke Pantai Hospital Cheras selepas keadaan badannya semakin tidak selesa berikutan simptom sesak nafas dan muntah yang berlarutan.
Menceritakan semula detik berkenaan, Ayu memberitahu suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin pada awalnya cuba membantu melegakan kesakitan dengan menyapu minyak pada bahagian dada sebelum dia cuba berehat semula.
"Pukul 3 pagi saya sesak nafas. Suami saya letak minyak, kemudian saya tidur balik.
“Lepas itu lebih kurang pukul 6 pagi saya terjaga semula sebab rasa loya dan muntah. Pukul 3 tadi pun saya muntah, kemudian pukul 6 saya muntah lagi," katanya.

Melihat keadaan yang tidak menunjukkan tanda pemulihan, suaminya terus membuat keputusan membawa Ayu ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut daripada doktor pakar.
Hasil pemeriksaan awal mendapati pelantun lagu Hanya Di Mercu tersebut disahkan mempunyai batu dalam hempedu yang dipercayai menjadi punca kesakitan pada bahagian perutnya.
Batu dalam hempedu
Selain masalah itu, Ayu menjelaskan dia memang mempunyai sejarah penyakit fibroid yang sebelum ini pernah memberi gangguan kesakitan di bahagian perut.
"Doktor sahkan ada batu dalam hempedu. Saya memang ada fibroid sebelum ini dan fibroid itu pun memberi kesan kepada sakit perut saya. Cuma untuk sesak nafas itu, doktor masih dalam pemeriksaan. Mereka akan beritahu kemudian apa sebenarnya yang menyebabkan saya sesak nafas," katanya.
Buat masa ini, pihak perubatan masih menjalankan pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar simptom sesak nafas yang dihadapinya.
Dalam pada itu, anak kelahiran Sabah berkenaan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian sendiri mengenai keadaan kesihatannya selagi keputusan rasmi pemeriksaan doktor belum keluar.

Dia yang kini masih ditahan di wad untuk pemantauan turut memohon titipan doa daripada semua pihak agar urusan rawatannya berjalan lancar dan dipermudahkan.
"Doakan saya supaya semuanya okay dan dipermudahkan," katanya.






