Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Pemergian pelakon veteran Kamarool Haji Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man, 67, terus dirasai ramai.
Difahamkan, Cik Man sempat menjalani penggambaran sebuah video produk sebelum dikejarkan ke hospital selepas secara tiba-tiba mengadu sakit malam kelmarin.
Isteri Allahyarham, Norliza Mohd. Aduni, 49, berkata, arwah keluar ke Machang sekitar jam 9 pagi kelmarin untuk memenuhi komitmen penggambaran sebelum pulang awal ke rumah mereka di Kampung Kuala Paku, Tanah Merah.
Mengadu letih, rasa sakit
Menurut Norliza, sebaik tiba di rumah, arwah mengadu letih dan sakit akibat gastrik sebelum di bawa ke Hospital Tanah Merah kira-kira pukul 11 malam bagi mendapat rawatan.
“Arwah ketika itu berada dalam keadaan tercungap-cungap dan terpaksa menggunakan bantuan mesin oksigen kerana masalah jantung.”
Katanya, pemeriksaan mendapati arwah mengalami masalah saluran jantung tersumbat sehingga memerlukan bantuan mesin oksigen sebelum ditidurkan di ICU.
Bagaimanapun, keadaan kesihatannya semakin merosot sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.15 petang semalam.
Artikel berkaitan: “Macam dia dah tahu…” – Ungkapan Terakhir Cik Man Dalam Program Bual Bicara Kembali Tular
Artikel berkaitan: “Terlalu banyak kisoh kita…” – Rakan Artis Kongsi Kenangan Bersama Arwah Kamarool Haji Yusoff
Norliza memberitahu, suaminya yang pernah mengalami serangan jantung kira-kira dua tahun lalu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum meninggal dunia kecuali mengadu letih sejak tiga minggu kebelakangan ini.
“Arwah merupakan seorang yang baik dan bertanggungjawab selain peramah dengan penduduk kampung di sini.”
Ujarnya, Allahyarham kebiasaannya akan memilih menyertai penggambaran melibatkan tempoh sehari seperti iklan produk berbanding drama bersiri yang mempunyai banyak episod.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual Petai Lima sekitar jam 11.20 pagi tadi.
Kira-kira 200 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk kampung hadir memberikan penghormatan terakhir.
Menurut sumber, Allahyarham meninggalkan seorang isteri serta dua cahaya mata, iaitu Ahmad Fakhrul Alif, 23, dan Nur Najihah, 27.
Sumber: Kosmo!
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






