Azizulhasni akhirnya dapat lampu hijau LA28

1 Sep 2026 • 9:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Azizulhasni akhirnya dapat lampu hijau LA28

PETALING JAYA: Penantian Datuk Azizulhasni Awang berhubung masa depannya akhirnya terjawab apabila jaguh berbasikal trek negara itu mendapat sokongan untuk meneruskan pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengesahkan Azizulhasni antara pelumba negara yang dipertanggungjawabkan mengumpul mata kelayakan Olimpik bagi acara keirin dan pecut individu.

Perkembangan itu turut menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari mengarahkan MSN memastikan kesinambungan proses kelayakan atlet berbasikal trek negara ke LA28, sekali gus memberikan hala tuju lebih jelas kepada misi pelumba berusia 38 tahun berkenaan.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pengesahan berkenaan amat penting bagi membolehkan Azizulhasni mengalihkan sepenuh perhatian kepada persiapan menghadapi laluan kelayakan yang akan bermula dengan Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2026 di Shanghai, China, Oktober ini.

“Perkara ini penting kerana proses kelayakan LA28 memerlukan perancangan rapi sejak awal, termasuk pemahaman yang jelas mengenai laluan pertandingan serta bentuk sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh kelayakan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Amarjit berkata, PKBM sebelum ini sudah mengambil langkah awal apabila mengadakan perbincangan dengan MSN pada 7 Julai lalu mengenai syarat kelayakan dan kejohanan antarabangsa yang perlu disertai pelumba negara bagi mengumpul mata ranking Olimpik.

Malah, PKBM kemudian menghantar surat rasmi kepada Taufiq dan MSN pada 10 Ogos lalu bagi menyatakan pendirian supaya Azizulhasni terus diberi peluang mewakili Malaysia dalam misi LA28 serta mendapat sokongan sepenuhnya sepanjang kempen tersebut.

“Kami amat gembira Kerajaan dan MSN memberi maklum balas yang positif. Ini satu keputusan penting bukan sahaja untuk Azizulhasni, tetapi juga untuk sukan berbasikal Malaysia dan aspirasi negara di LA28,” katanya.

Menurut Amarjit, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira prestasi semasa, pencapaian serta pengalaman luas Azizulhasni yang masih mampu bersaing di peringkat tertinggi selain berpotensi menjadi sumber inspirasi kepada pelumba negara lain dalam misi kelayakan Olimpik.

“Azizulhasni sudah memberikan begitu banyak kepada sukan Malaysia dan beliau diperlukan Malaysia untuk menggalas cabaran dan tugas penting ini untuk negara. Beliau terus membuktikan bahawa beliau masih mampu bersaing dengan jayanya di peringkat tertinggi,” katanya. – UTUSAN

The post Azizulhasni akhirnya dapat lampu hijau LA28 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved