
JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menggalas misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Perkembangan terbaharu itu dikongsikan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerusi satu kenyataan rasmi yang turut memperincikan mengenai laluan bekas juara dunia berkenaan ke Olimpik.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill menyatakan penghargaannya kepada KBS dan MSN atas sokongan diberikan, lebih-lebih lagi badan induk sukan berbasikal itu mahu Azizulhasni mewakili negara ke LA28.
Beliau berkata, pihaknya sudah pun mengadakan perbincangan secara terperinci bersama MSN Julai lalu kerana menyifatkan kelayakan ke Sukan Olimpik memerlukan persiapan rapi sejak dari awal.
“Pada 7 Julai 2026, PKBM telah mengadakan perbincangan terperinci bersama MSN yang turut dihadiri Ketua Pengarah MSN serta pegawai bagi membincangkan laluan kelayakan ke LA28, termasuk syarat kelayakan dan pertandingan untuk mengumpul mata ranking Olimpik.
“Perkara ini penting kerana proses kelayakan LA28 memerlukan perancangan rapi sejak dari awal, termasuk pemahaman yang jelas mengenai laluan pertandingan serta bentuk sokongan diperlukan sepanjang tempoh kelayakan,” katanya menerusi kenyataan itu.
Selepas perbincangan tersebut, PKBM sekali lagi mengambil inisiatif dengan menulis surat kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari bagi menyatakan pendirian supaya Azizulhasni terus mewakili Malaysia dalam misi ke LA28.
Justeru, Amarjit turut menyatakan bahawa Kerajaan dan MSN sudah memberi maklum balas positif berhubung perkara tersebut selain menyifatkan, Azizulhasni sudah banyak menabur jasa kepada negara.
“Kami amat gembira Kerajaan dan MSN telah memberi maklum balas yang positif. Ini merupakan satu keputusan penting bukan sahaja untuk Azizulhasni, malah kepada sukan berbasikal Malaysia dan aspirasi negara di LA28,” ujarnya.
Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa dalam surat bertarikh 30 Ogos 2026, MSN mengesahkan sokongan terhadap Azizulhasni sebagai antara pelumba trek negara yang akan menggalas tanggungjawab mengumpul mata kelayakan LA28 bersama atlet-atlet di bawah program Road to Gold (RTG) dan Podium.
The post KBS, MSN ‘restu’ Azizulhasni ke LA28 appeared first on Kosmo Digital.






