Azizulhasni ulangi emas Guangzhou

3 Oct 2026 • 7:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Azizulhasni ulangi emas Guangzhou

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sekali lagi membuktikan kelasnya apabila menghadiahkan emas pertama dalam acara basikal trek selepas unggul dalam acara final keirin lelaki, semalam.

Azizul yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu tenang mengatur kayuhan sejak awal perlumbaan memilih untuk tidak terburu-buru sebelum melancarkan pecutan pada pusingan terakhir, sekali gus memintas pencabar bagi melintasi garisan penamat dengan catatan 10.330 saat (s).

Lebih manis, kemenangan itu hadir selepas pelumba berusia 38 tahun berkenaan melalui pelbagai dugaan sebelum tiba di Aichi-Nagoya, termasuk kemalangan ketika latihan hanya seminggu sebelum berlepas ke Jepun.

Azizulhasni berkata, kemalangan itu pada awalnya menimbulkan persoalan sama ada beliau mampu membuat penampilan di Sukan Asia, namun proses pemulihan dan pembinaan semula prestasi berjalan lancar sehingga membolehkannya kembali ke tahap terbaik.

“Alhamdulillah, walaupun macam-macam dugaan semua itu, semuanya dipermudahkan. Saya dapat bina balik prestasi dan semuanya cantik. Emas di Piala Dunia di Perth dan Nilai dan kemudian emas di Komanwel,” katanya selepas perlumbaan.

Namun segala kesukaran itu terbayar apabila Azizulhasni melancarkan pecutan sempurna dalam final keirin untuk menewaskan pelumba China, Li Zhiwei dengan catatan 10.330s, hanya 0.018s di depan pencabar berkenaan yang merekodkan 10.348s.

“Saya kejar secara perlahan-lahan. Saya tak rushing. Saya jaga gap dan sampai ke last baru saya datang betul-betul untuk pastikan tak ada orang potong saya pada saat akhir. Timing memang perfect sampai ke garisan penamat,” katanya.

Azizulhasni mengakui final berkenaan bukan mudah apabila perlumbaan berlangsung pada kelajuan tinggi, malah menyifatkannya hampir seperti final Kejohanan Dunia.
“Tadi memang bukan mudah, dua lap terakhir memang laju. Saya cakap pada diri sendiri, ia takkan mudah, tapi saya kena beri prestasi terbaik. Memang penat selepas itu dan saya perlukan sedikit masa untuk pulih,” katanya.

Bagaimanapun, kemenangan pelumba kelahiran Dungun itu hadir dengan perbezaan cukup tipis apabila pelumba China, Li Zhiwei hanya ketinggalan 0.018s selepas merekodkan 10.348s untuk meraih perak.

Seorang lagi pelumba China, Xie Han meraih gangsa dengan catatan 10.547s, manakala pelumba Jepun, Minato Nakaishi di tempat keempat dengan 10.597s.

Rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula menamatkan saingan di tempat kelima selepas mencatat 10.678s, namun gagal mengulangi kejayaan menaiki podium.

Bagi Azizulhasni, emas itu mempunyai nilai tersendiri apabila beliau mengulangi pencapaian 16 tahun lalu selepas turut memenangi emas keirin pada Sukan Asia Guangzhou 2010.

Lebih menarik, kejayaan di Aichi-Nagoya melengkapkan koleksi pingat keirinnya di Sukan Asia selepas turut meraih gangsa pada edisi Jakarta-Palembang 2018.

KAPSYEN

AZIZULHASNI (tengah) ketika melintasi garisan penamat pada aksi akhir keirin berbasikal trek di Velodrom Izu, Shizouka, semalam. – BERNAMA

 

The post Azizulhasni ulangi emas Guangzhou appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved