
SELEPAS sekadar meraih pingat gangsa dalam acara pecut individu lelaki kelmarin, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menebus kekecewaan itu menerusi pingat emas keirin lelaki.
Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Izu, Shizuoka semalam, pelumba berusia 38 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenaga bagi menewaskan lima pencabar lain, termasuk rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Ketika permulaan, Azizulhasni lebih banyak berada di bahagian belakang sebelum mengerah segala kudrat bagi memintas dua pelumba China, Li Zhiwei dan Xie Han, seterusnya melintas garisan penamat sebagai pemenang.
Kemenangan itu sekali gus menghadirkan keceriaan buat kem berbasikal trek negara, lebih-lebih lagi ia merupakan satu-satunya pingat emas skuad berbasikal pada temasya Sukan Asia kali ini.
Sebagai rekod, ia merupakan pingat emas ketiga peribadi buat Azizulhasni sepanjang penyertaannya di Sukan Asia apabila turut memenangi acara keirin pada edisi Guangzhou 2010 serta Pecut di Jakarta-Palembang 2018.
Sementara itu, Shah Firdaus pula terpaksa berpuas hati tidak dapat mengiringi The Pocket Rocketman ke podium selepas dia sekadar menamatkan perlumbaan akhir tersebut di kedudukan kelima.
Dalam perkembangan sama, pelumba wanita, Nur Alyssa Mohd. Farid tidak dapat mengikut jejak langkah Azizulhasni untuk menjejakkan kaki di podium selepas menamatkan aksi pecut individu wanita di kedudukan keempat.
Pada aksi penentuan pingat gangsa yang berlangsung lebih awal, pelumba berusia 20 tahun itu terpaksa akur gagal membawa pulang pingat apabila tewas 0-2 kepada pelumba China, Jiang Yulu. –
The post Sukan Asia: Azizulhasni akhirnya tebus kecewa appeared first on Kosmo Online.






