
SHAH ALAM- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings Sdn. Bhd. didakwa atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM37.37 juta sembilan tahun lalu di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh Azlizan Fadzil, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut setelah dibaca di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Azlizan yang ketika itu merupakan CEO UiTM Holdings Sdn. Bhd. didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM37,374,612.68.
Wang tersebut sepatutnya digunakan bagi tujuan pelaburan pembangunan projek penjanaan elektrik solar fotovoltaik berskala besar berkapasiti 50 megawatt (MW) di Gambang.
Bagaimanapun, tertuduh didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang berkenaan dengan membuat pembayaran bagi tujuan lain selain daripada tujuan yang ditetapkan.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di antara 2 Februari 2017 hingga 2 Oktober 2017 di sebuah bank di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Law Chin How manakala tertuduh diwakili Peguam Hasshahari Johari Mawi.
Mendengar semua hujahan, Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin berjumlah RM50,000 dengan dua penjamin kepada Azlizan. Kes disebut semula pada 3 November ini. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas CEO UiTM Holdings didakwa pecah amanah RM37.37 juta appeared first on Kosmo Online.






