Arafah #QuranHour 2026 platform bentuk generasi muda cintakan al-Quran

20 May 2026 • 5:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Arafah #QuranHour 2026 platform bentuk generasi muda cintakan al-Quran
Program Arafah #QuranHour 2026 yang akan berlangsung pada 26 Mei ini mendapat perhatian daripada SMKA Tok Bachok di Bachok sebagai medium memperkukuh penghayatan al-Quran dalam kalangan pelajar.
Image from: Arafah #QuranHour 2026 platform bentuk generasi muda cintakan al-Quran
Program anjuran PRNNK itu dilihat sebagai satu inisiatif signifikan dalam membentuk sahsiah unggul dan kekuatan spiritual generasi muda.

BACHOK – Program Arafah #QuranHour 2026 yang akan berlangsung pada 26 Mei ini mendapat perhatian daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok di sini sebagai medium memperkukuh penghayatan al-Quran dalam kalangan pelajar.

Pengetuanya, Mohd Fadli Jusoh berkata, program anjuran Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) itu dilihat sebagai satu inisiatif signifikan dalam membentuk sahsiah unggul dan kekuatan spiritual generasi muda.

Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar aktiviti membaca al-Quran, sebaliknya menjadi platform untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, bermuhasabah serta memahami mesej al-Quran dalam kehidupan seharian.

Katanya, pengisian sedemikian mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki kekuatan jiwa, akhlak mulia dan jati diri muslim yang kukuh.

"Sebagai sekolah aliran agama, pihak pengurusan sekolah amat menyokong program ini yang selari dengan misi PRNNK untuk membudayakan amalan baca, faham dan amal al-Quran," katanya.

Beliau memberitahu, tema penghayatan Surah al-Muzzammil dan Surah al-Hajj amat bertepatan dalam membentuk disiplin ibadah, ketahanan diri serta semangat persaudaraan sesama umat Islam.

"Surah al-Muzzammil menekankan pembinaan rohani seperti menjaga solat, qiamullail dan mentadabbur al-Quran, manakala Surah al-Hajj pula mengajar nilai kepatuhan, pengorbanan dan keikhlasan," katanya.

Tambah beliau, nilai-nilai tersebut boleh diterjemahkan dalam kehidupan harian melalui sikap saling membantu, menghormati guru dan rakan serta melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

**media[3527208]**

Sementara itu, Guru Kanan Pendidikan Islam, Ahmad Mubarak Fikri Mustaffa berkata, program pengisian rohani seperti Arafah #QuranHour amat diperlukan dalam mendepani cabaran emosi dan pengaruh media sosial dalam kalangan remaja hari ini.

Menurut beliau, remaja memerlukan lebih banyak program yang mampu menenangkan jiwa, membentuk pemikiran positif dan mengukuhkan nilai diri.

"Program seperti ini menjadi medium penting untuk mendidik pelajar kembali kepada panduan al-Quran sebagai sumber ketenangan, kebijaksanaan dan kekuatan dalam membuat keputusan," katanya.

Menurut beliau, sebagai sekolah tahfiz Ulul Albab, SMKA Tok Bachok sentiasa menekankan pembentukan akhlak dan peribadi pelajar berlandaskan al-Quran.

Ujarnya, pendekatan pendidikan holistik diterapkan menerusi pelbagai program kerohanian, usrah, halaqah al-Quran dan khidmat masyarakat bagi membentuk nilai berbudi, penyayang dan semangat kebersamaan.

"Guru juga berperanan sebagai qudwah hasanah dalam membimbing pelajar supaya sentiasa mengamalkan nilai empati, kasih sayang dan budaya hormat-menghormati dalam kehidupan seharian," katanya.

Beliau memberitahu, dalam pada itu, pihak sekolah berharap program Arafah #QuranHour 2026 dapat menyemai rasa cinta terhadap al-Quran serta melahirkan generasi rabbani yang berilmu, beramal dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.