
SUNGAI PETANI – Seorang peniaga di Pasar Malam Bandar Baru Sungai Lalang, di sini mendakwa terperdaya dengan helah seorang wanita warga asing yang menggunakan taktik pertukaran baki ketika membuat pembayaran.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam tadi, wanita terbabit membeli makanan berharga RM4 dan menyerahkan wang RM100 kepada peniaga sebelum tiba-tiba membatalkan pembelian tersebut.
“Dalam pukul 8 malam, scammer ini datang dekat saya, dia order makanan RM4, kemudian dia bagi duit RM100. Saya bagi balik baki RM96 bersama makanan. Selepas itu tiba-tiba dia kata nak batalkan (pembelian).
“Dia bagi balik dekat saya masa itu RM46, lagi RM50 dia tidak bagi dan dia minta balik duit dia RM100 dan saya pun bagi balik RM100 itu. Tidak tahu macam mana masa itu saya seolah-olah kena pukau.
“Selepas dia sudah pergi, baru saya sedar dengan baki duit masa itu. Dia dah jalan ke depan, saya lari pergi panggil dia balik dan cakap pasal duit dan dia cuba kelirukan saya. Dia kata dia dah bagi duit,” kata mangsa menerusi hantaran di Facebook Penduduk Sungai Petani Kedah.
Katanya, seterusnya beberapa peniaga lain datang kepadanya dan beritahu wanita berkenaan adalah scammer.
“Mula-mula masa saya panggil, dia beritahu dia sudah bagi RM50 itu, selepas itu dia siap tunjuk dalam dompet dia lagi kata duit RM50 tu sudah tiada.
“Kononnya memang dia sudah bagi dekat saya. Bila dia sudah pergi jauh, masa itulah dua, tiga orang peniaga lain datang beritahu saya yang dia scammer. Saya lari pergi jumpa dia balik sambil rekod (video), baru dia bagi balik RM50 itu tetapi dia pula yang marah-marah kita,” ujarnya.
Sementara itu, taktik sama turut dikesan berlaku di sebuah kedai jamu di sebuah pasar raya besar di sini pada Sabtu lalu apabila seorang pelanggan membayar RM100 bagi barangan bernilai RM5.
Dalam kejadian itu, baki RM95 telah dipulangkan kepada pelanggan sebelum dia cuba mengambil semula wang RM100 dengan helah tertentu, namun hanya memulangkan RM45 dan menyembunyikan RM50 lagi.
Perbuatan tersebut kemudiannya disahkan melalui televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sebarang modus penipuan khususnya ketika urusan jual beli dan transaksi wang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian penipuan di Pasar Malam Bandar Baru Sungai Lalang pada 10 Ogos lalu diminta segera menyalurkan maklumat atau membuat laporan polis.
“Jangan mudah terpedaya dan semak terlebih dahulu sebelum bertindak,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Sungai Petani di talian 04-422 2222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 04-429 9222. – KOSMO! ONLINE
The post Bagai dipukau, warga asing guna helah pertukaran wang appeared first on Kosmo Digital.





