
KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal kembali menghangatkan pentas Formula Satu (F1) apabila dijangka menjadi tuan rumah perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain pada Oktober ini.
Menurut sumber kepada ESPN, perlumbaan itu akan dianjurkan di Malaysia susulan GP Bahrain yang sepatutnya berlangsung pada April lalu terpaksa ditangguhkan bersama GP Arab Saudi akibat konflik peperangan di Iran.
Pada awalnya, Bahrain merancang menjadualkan semula perlumbaan berkenaan pada 4 Oktober, iaitu di celah jadual antara GP Azerbaijan dan GP Singapura, namun ketegangan yang semakin memuncak di rantau Asia Barat menyebabkan perancangan tersebut tidak dapat diteruskan.
Situasi itu membuka ruang kepada SIC untuk mengambil alih penganjuran perlumbaan berkenaan, sekali gus menyaksikan litar kebanggaan negara itu kembali berada dalam kalendar F1 buat kali pertama sejak kali terakhir menjadi hos pada musim 2017.
Menariknya, walaupun perlumbaan dijangka berlangsung di Malaysia, segala kos penganjuran difahamkan akan ditanggung oleh Bahrain, manakala acara tersebut tetap akan dipersembahkan sebagai GP Bahrain.
Bagaimanapun, nama rasmi perlumbaan itu masih belum dimuktamadkan kerana beberapa perkara berkaitan penganjuran termasuk aspek penjenamaan masih dalam peringkat perbincangan.
Sumber sama memaklumkan, rundingan melibatkan pelbagai pihak telah berlangsung sejak beberapa hari lalu, termasuk mengenai urusan kewangan serta mekanisme pelaksanaan perlumbaan tersebut.
Konflik yang berterusan di Iran turut memaksa F1 menyusun semula baki jadual musim ini memandangkan kalendar asal 2026 mengandungi 24 perlumbaan dengan empat daripadanya dijadual berlangsung di Asia Barat.
Selain Bahrain dan Arab Saudi, dua lagi perlumbaan di rantau itu ialah GP Qatar dan GP Abu Dhabi yang dijadual menutup tirai musim, namun perancangan tersebut kini bergantung kepada perkembangan semasa konflik berkenaan.
Mengikut perjanjian komersial F1 bersama 11 pasukan bertanding serta penyiar rasmi di seluruh dunia, musim perlumbaan tidak boleh mempunyai kurang daripada 22 pusingan, sekali gus memerlukan sekurang-kurangnya dua perlumbaan pengganti sekiranya beberapa pusingan di Asia Barat dibatalkan.
Dalam perkembangan sama, sumber ESPN turut mendedahkan Litar Imola di Itali dan Portimao di Portugal sedang dipertimbangkan sebagai alternatif bagi mengisi baki kalendar musim, dengan Imola ketika ini dilihat sebagai pilihan paling berpotensi untuk menjadi venue penutup musim sekiranya Malaysia mengambil alih penganjuran GP Bahrain. – AGENSI
The post Bahrain tanggung kos jika SIC jadi tuan rumah F1? appeared first on Utusan Malaysia.





