Fokus pertama Wan Kharizal selesai isu kelewatan baja

21 Aug 2026 • 7:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Fokus pertama Wan Kharizal selesai isu kelewatan baja

KANGAR: Penyelesaian isu kelewatan pembekalan baja sebatian tambahan atau baja ketiga menjadi fokus pertama Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang baharu dilantik Wan Kharizal Wan Khazim.

Beliau yang dilantik kelmarin memberi jaminan untuk menyelesaikan isu itu terlebih dahulu namun akan mendapat maklumat berkaitan apabila mula masuk pejabat bagi memulakan tugas.

Katanya, berdasarkan kenyataan MADA sebelum ini, beberapa langkah ke arah kelancaran pembekalan baja tambahan tersebut telah dilaksanakan.

“Saya akan melihat lebih lanjut apa yang sedang dilakukan bagi menyelesaikan isu kelewatan baja sebatian tambahan tersebut. Kami juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan bagi mendapat penjelasan tuntas berhubung isu yang berlarutan itu.

“Insya-Allah kita pastikan isu kelewatan baja yang membebankan petani dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, kira-kira 38,000 pesawah yang masih belum menerima bekalan baja sebatian tambahan bagi kawasan seluas 78,117 hektar berdepan kerugian sehingga RM1.3 juta sehari berikutan kelewatan bekalan yang memberi kesan kepada tanaman padi.

Anggaran itu mengambil kira kerugian sekitar RM25 sehektar bagi setiap pesawah yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 52,000 hektar yang kini berada pada peringkat 31 hingga 75 hari usia tanaman.

Sebelum itu, MADA memberi jaminan akan meningkatkan pemantauan dan penyelarasan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan pihak berkaitan bagi memastikan baki bekalan baja sebatian tambahan sebanyak 478,455 beg membabitkan keperluan 38,000 pesawah dapat diselesaikan sebelum tempoh bekalan berakhir pada 1 Oktober ini.

MADA dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat Selasa lalu, sebanyak 137,560 beg baja atau 22 peratus sudah dibekalkan berbanding keperluan keseluruhan 616,015 beg.

Wan Kharizal berkata, isu kelewatan pembekalan baja akan diselesaikan dengan baik selain tumpuan beliau yang lain adalah menyelesaikan masalah berkaitan petani.

“Insya-Allah akan ada jalan keluar dan kita ingin pastikan isu ini selesai,” katanya. – UTUSAN

The post Fokus pertama Wan Kharizal selesai isu kelewatan baja appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved