
LONDON – Harry Kane berpeluang menamatkan penantian 25 tahun untuk menjadi pemain England pertama menjulang trofi Ballon d’Or apabila majlis anugerah berprestij itu berlangsung di London Palladium, awal pagi esok.
Penyerang Bayern Munich itu muncul calon pilihan selepas mempamerkan ketajaman luar biasa dengan meledak 61 gol buat kelab musim lalu, selain menambah 12 jaringan bersama England.
Prestasi Kane terus menyinar musim ini apabila sudah menghasilkan 10 gol bersama Bayern dan enam lagi ketika mewakili skuad Three Lions.
Kali terakhir pemain England memenangi anugerah individu paling berprestij dalam bola sepak itu ialah Michael Owen pada 2001, sekali gus meletakkan Kane di ambang peluang untuk mengulangi pencapaian legenda berkenaan.
Bagaimanapun, Kane mengakui debaran menunggu keputusan turut memberi tekanan kepada keluarganya, meskipun memahami unsur kejutan menjadi sebahagian daripada tarikan majlis tersebut.
“Isteri dan keluarga saya mungkin lebih suka mengetahui keputusannya lebih awal kerana keadaan ini memberi tekanan buat kami semua.
“Saya sendiri mahu tahu lebih awal supaya tidak perlu menunggu sepanjang malam. Tetapi itu keputusan penganjur dan saya tidak boleh mengawalnya,” katanya.
Kane yang kini berusia 33 tahun dijangka bersaing sengit dengan bintang muda Barcelona, Lamine Yamal, serta penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe. – AGENSI
The post Ballon d’Or: Kane mampu akhiri penantian appeared first on Kosmo Online.




