
GUA MUSANG: Bangkai seekor anak gajah ditemukan di tepi jalan utama menuju ke Pos Pulat, berhampiran Kampung Rahmat di sini hari ini.
Bangkai haiwan berkenaan ditemukan kira-kira pukul 9 pagi oleh seorang pekerja Projek Hidroelektrik Nenggiri yang menggunakan laluan terbabit.
Seorang pengguna jalan yang mahu dikenali sebagai Sulaiman, 35, berkata, dia dimaklumkan mengenai penemuan itu oleh rakannya sebelum ke lokasi bersama beberapa individu lain.
Katanya, mereka melihat anak gajah itu sudah tidak bernyawa dan berada di tepi jalan utama menuju ke Pos Pulat.
“Difahamkan, bangkai anak gajah ini dijumpai seorang pekerja di tapak Projek Hidroelektrik Nenggiri. Kami tidak tahu punca kematian dan bangkai anak gajah ini masih berada di tepi jalan utama menuju ke Pos Pulat,” katanya.
Sulaiman berkata, dia juga tidak pasti sama ada laporan mengenai penemuan bangkai anak gajah itu sudah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
Dia berharap berkuasa diharap dapat menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kematian haiwan berkenaan. – UTUSAN
The post Bangkai anak gajah ditemukan di tepi jalan appeared first on Utusan Malaysia.






