
SHAH ALAM, 12 NOV: Selangor terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 1,180 orang daripada 326 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 5 petang ini.
Tiga daerah masih terjejas iaitu Gombak, Petaling dan Kuala Selangor, dengan jumlah mangsa meningkat seorang berbanding 1,179 orang yang direkodkan pada jam 9 pagi tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bilangan PPS dan keluarga yang dipindahkan kekal tidak berubah sejak pagi.
Sementara itu, Perak merekodkan 306 mangsa daripada 88 keluarga di dua PPS melibatkan satu daerah, berbanding 317 mangsa daripada 93 keluarga pada pagi tadi.
Di Sarawak, jumlah mangsa meningkat kepada 35 orang daripada enam keluarga yang ditempatkan di dua PPS melibatkan dua daerah, berbanding tujuh mangsa di sebuah PPS di satu daerah pada pagi tadi.
Secara keseluruhan, sebanyak 13 PPS dibuka di tiga negeri bagi menempatkan 1,521 mangsa daripada 420 keluarga setakat jam 5 petang ini, berbanding 1,503 mangsa daripada 420 keluarga di 12 PPS pada jam 9 pagi tadi.
Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 482 mangsa ialah wanita dewasa, lelaki dewasa (458), kanak-kanak lelaki (299), kanak-kanak perempuan (238), bayi lelaki (31) dan 13 bayi perempuan.





