
KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan bekalan makanan secara berlebihan menjelang Monsun Timur Laut 2026/2027, memandangkan bekalan makanan di pusat pemindahan sementara (PPS) berada pada tahap mencukupi.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, masyarakat seharusnya membeli barangan keperluan mengikut keperluan masing-masing dan tidak mudah terpengaruh dengan laporan mencemaskan atau dakwaan yang belum disahkan, khususnya di media sosial.
Menurutnya, bekalan makanan dijangka mencukupi dan tiada keperluan untuk orang ramai membuat pembelian secara berlebihan.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sesi Libat Urus Media Mengenai Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027, hari ini.
Dalam pada itu, Meor turut mengingatkan orang ramai dan pengamal media supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat, termasuk video yang tular di media sosial, sebelum menyebarkannya kepada umum.
Beliau berkata, terdapat kandungan yang dikongsi sesetengah pempengaruh tanpa pengesahan sewajarnya sehingga boleh menimbulkan kebimbangan dan mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Mengulas lanjut, beliau berkongsi pengalaman menemui sebuah video berkaitan kawasan yang dikenalinya sebelum menghubungi pejabat daerah berkenaan untuk mendapatkan maklumat sebenar.
Hasil semakan mendapati rakaman itu mengelirukan dan dipercayai bertujuan meraih perhatian serta meningkatkan jumlah pengikut di media sosial.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mencetuskan panik.
Mengenai persiapan menghadapi banjir, Meor berkata NADMA akan mengekalkan tahap kesiapsiagaan sedia ada meskipun jumlah lokasi panas banjir yang dikenal pasti di seluruh negara menunjukkan penurunan.
Menurut data Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sebanyak 3,045 lokasi panas banjir dikenal pasti tahun ini berbanding 3,645 lokasi pada 2025.
Bagaimanapun, penurunan tersebut tidak seharusnya menyebabkan masyarakat dan pihak berkuasa mengambil mudah risiko bencana, terutama di kawasan yang jarang mengalami banjir.
Beliau berkata, penduduk di kawasan yang kerap dilanda banjir lazimnya lebih bersedia kerana pihak berkuasa daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah terbiasa mengendalikan situasi kecemasan berkenaan.
Sebaliknya, kawasan yang jarang mengalami banjir lebih membimbangkan kerana penduduk mungkin kurang bersedia menghadapi kejadian luar jangka.
Beliau turut menyebut Seri Muda dan Bentong, Pahang sebagai antara kawasan yang pernah mengalami kejadian banjir tidak dijangka.
Katanya, banjir di kawasan tanah tinggi juga boleh mendatangkan bahaya berikutan aliran air yang deras, manakala perubahan iklim berpotensi menjadikan corak kejadian banjir semakin sukar diramalkan.
Monsun Timur Laut 2026/2027 dijangka bermula pada 27 Oktober ini dan berterusan sehingga Mac 2027, dengan risiko hujan lebat berpanjangan, banjir serta tanah runtuh di beberapa kawasan.
Mengulas mengenai langkah keselamatan, Meor berkata ramalan cuaca tiga hari yang dikeluarkan MetMalaysia menjadi antara rujukan penting pihak berkuasa dalam menentukan keperluan pemindahan awal penduduk di kawasan berisiko.
MetMalaysia turut mengeluarkan unjuran cuaca bagi tempoh sebulan, seminggu dan tiga hari, dengan ramalan jangka pendek memberikan gambaran lebih tepat mengenai keadaan cuaca yang bakal berlaku.
Maklumat berkenaan akan digunakan untuk menilai keperluan memindahkan penduduk lebih awal, khususnya di kawasan yang berdepan risiko hujan lebat dan air pasang besar.
Beliau menegaskan penduduk tidak seharusnya menunggu sehingga air banjir memasuki kediaman sebelum mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat selamat.
Langkah itu amat penting bagi keluarga yang mempunyai ahli orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak kecil, wanita hamil serta warga emas yang memerlukan bantuan dan masa tambahan untuk berpindah.
Menurutnya, pemindahan sebelum keadaan banjir menjadi lebih buruk akan memudahkan penduduk bergerak sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pasukan penyelamat.
Selain itu, tindakan berpindah lebih awal turut dapat mengurangkan beban pasukan penyelamat, terutama apabila kawasan perumahan yang luas terjejas akibat banjir.
Beliau berkata, sebuah bot penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia lazimnya mampu membawa kira-kira 10 orang dalam satu-satu masa, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat sekiranya jumlah penduduk yang terperangkap terlalu ramai.
Justeru, setiap keluarga digesa merancang persiapan pemindahan lebih awal dan tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab keselamatan kepada pasukan penyelamat ketika bencana berlaku.
Dalam masa sama, penduduk turut disarankan mengambil langkah berjaga-jaga di kediaman masing-masing, termasuk memindahkan barangan berharga dan dokumen penting ke tempat lebih tinggi, khususnya ke tingkat atas bagi rumah dua tingkat. - Getaran, 30 Oktober 2026





