Banjir Nepal: ‘Kami positif, adik mungkin terputus hubungan’

28 Aug 2026 • 1:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Banjir Nepal: ‘Kami positif, adik mungkin terputus hubungan’

SIK – Keluarga kepada seorang pegawai bomba yang dilaporkan hilang susulan banjir kilat di Nepal enggan memikirkan kemungkinan buruk, sebaliknya terus berharap dia bersama ahli kumpulan lain berada dalam keadaan selamat.

Menurut Mohd. Saiful Munir Mohd. Isa, 46, abang kepada Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Fakhrul Munir, 44, dia dan keluarga percaya kejadian banjir yang melanda kawasan itu menyebabkan komunikasi terputus dan menyebabkan adiknya tidak dapat dihubungi.

Mohd. Fakhrul Munir merupakan Pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah.

Katanya, ibunya juga masih belum dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan negatif berhubung adiknya kerana keluarga mahu terus mempertahankan harapan bahawa mangsa selamat dan hanya terputus hubungan akibat bencana tersebut.

“Kami masih mengelakkan daripada memberitahu ibu mengenai perkara yang negatif kerana belum ada pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai keadaan sebenar adik.

“Kami mengambil sikap positif kerana kejadian tanah runtuh itu menyebabkan hubungan komunikasi terputus. Segala talian telekomunikasi dan pencawang turut runtuh serta lumpuh di sana,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dia yang juga merupakan pegawai bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang di Selangor berkata, keadaan itu menyebabkan keluarganya percaya masih ada kemungkinan mangsa yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu terperangkap di kawasan berkenaan dan tidak dapat menghubungi mereka.

Katanya, adiknya sememangnya biasa berada di Nepal kerana aktif dalam aktiviti mendaki dan berkunjung ke negara itu antara tiga hingga lima kali setahun.

“Boleh dikatakan Nepal seperti rumah kedua dia, jadi pemergiannya ke sana bukan sesuatu yang pelik bagi kami kerana kami sudah biasa dengan aktiviti pendakian yang disertainya. Dia juga pernah membawa kumpulan-kumpulan pendaki sebagai jurupandu ketika berada di sana,” ujarnya.

Jelasnya, kali terakhir dia berhubung dengan adiknya adalah kira-kira seminggu lalu iaitu sebelum mangsa berlepas ke Nepal, namun perbualan mereka hanya berkisar mengenai khabar masing-masing.

Dalam pada itu, katanya, dia sekeluarga kini hanya mampu menunggu perkembangan daripada pihak berkuasa sambil terus mendoakan keselamatan adiknya.

“Kita doakan yang baik dan berfikiran positif bahawa dia selamat. Kita ambil satu keadaan untuk mengharmonikan situasi musibah ni dengan pandangan yang positif yang mana dia sebenarnya masih dalam keadaan terperangkap. Tetapi kita kena reda dan bersedia untuk menerima kemungkinan paling buruk sekiranya berlaku,” ujarnya.

Tambahnya, berdasarkan laluan pergerakan mangsa, adiknya itu dipercayai berada di sekitar kawasan lembah ketika kejadian berlaku.

Selain Mohd. Fakhrul Munir, seorang lagi pegawai bomba yang turut dilaporkan hilang ialah Ketua Cawangan Kajian Operasi Pemadaman Kebakaran, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Mohd. Sani Harul.

Kedua-dua mereka adalah sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia yang sedang dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC) yang mula bertolak ke Nepal pada malam Isnin lalu. Kumpulan tersebut tidak melakukan pendakian, sebaliknya menggunakan jip mengikut laluan Tibet. – KOSMO! ONLINE

The post Banjir Nepal: ‘Kami positif, adik mungkin terputus hubungan’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved