
KUALA LUMPUR – Kira-kira 5,000 mangsa bencana banjir besar dan timbunan lumpur di Nepal masih belum dapat dikesan, menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) belum ditamatkan secara rasmi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan Nepal masih belum berhasrat mengumumkan penamatan operasi SAR berikutan jumlah mangsa yang masih belum diketahui nasibnya.
Menurut beliau, keadaan itu juga menyebabkan pasukan penyelamat berdepan tugas sukar untuk mengesan mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah timbunan lumpur dan pasir yang tebal.
“Masih ada lagi 5,000 orang yang masih dalam kategori tidak dapat dikesan dan mereka cuba tidak mengumumkan pemberhentian ataupun menamatkan SAR ini.
“Mereka tidak mahu timbul isu-isu tempatan kerana bimbang rakyat akan menekan kerajaan Nepal,” katanya.
Beliau berkata, sesetengah kawasan yang terjejas mengalami kemusnahan teruk sehingga sebuah rumah atau bangunan boleh tertimbus sepenuhnya oleh lumpur dan pasir.
Katanya, operasi pencarian kini banyak bergantung kepada keupayaan pasukan keselamatan dan penyelamat Nepal yang masih meneruskan usaha mengesan mangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, Malaysia bersedia mempertimbangkan bantuan tambahan sekiranya kerajaan Nepal memerlukan kepakaran atau sokongan dalam SAR.
“Kita boleh pertimbangkan dengan baik kalau kita dapat memberikan bantuan apa jua kerja-kerja yang penyelamat ataupun kerja-kerja mencari,” katanya.
Malaysia sebelum ini turut mengerahkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan bencana berkenaan.
Mohamad berkata, keputusan sama ada pasukan SMART akan meneruskan operasi atau berundur akan dibuat selepas menerima penilaian dan laporan daripada mereka serta Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Katanya, kerajaan tidak mahu membuat keputusan secara tergesa-gesa sebaliknya akan menilai keperluan sebenar di lapangan.- KOSMO! ONLINE.
The post Banjir Nepal: Lebih 5,000 mangsa masih belum ditemui appeared first on Kosmo Online.






