
KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 yang ditugaskan membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) akibat banjir besar di Nepal dijangka kembali ke tanah air hari ini atau esok selepas dikeluarkan dari lokasi operasi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kepulangan pasukan berkenaan dibuat selepas tiada lagi tindakan yang boleh dilakukan mereka di lokasi terbabit.
“SMART turut meninggalkan semua dron yang dibawa dari Malaysia untuk diserahkan kepada pasukan penyelamat Nepal bagi digunakan dalam operasi mereka.
“Saya rasa pada hari ini atau esok mereka akan kembali kerana kita telah dikeluarkan di sana dan tiada apa-apa lagi yang boleh kita lakukan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, (WTCKL) hari ini.
Menurut Mohamad, kerajaan Nepal setakat ini tidak berhasrat mengumumkan penamatan operasi SAR kerana masih terdapat kira-kira 5,000 orang yang berada dalam kategori tidak dapat dikesan.
Katanya, perkara itu berdasarkan laporan harian yang diterima daripada pegawai Kedutaan Malaysia di Kathmandu.
“Pihak berkuasa Nepal tidak berhasrat untuk mengumumkan penamatan usaha-usaha SAR kerana masih ada lagi 5,000 orang yang masih dalam kategori tidak dapat dikesan.
“Mereka cuba tidak mengumumkan pemberhentian ataupun menamatkan SAR kerana tidak mahu ada isu-isu tempatan dan takut rakyat akan menekan kerajaan Nepal,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, sebarang keputusan mengenai kemungkinan Malaysia meneruskan bantuan operasi SAR di Nepal akan dibuat selepas menerima laporan dan penilaian daripada ketua pasukan SMART serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Katanya, kerajaan tidak mahu membuat keputusan secara terburu-buru berhubung langkah seterusnya.
“Biar pasukan SMART tersebut dan NADMA yang akan membuat laporan kepada kerajaan apa langkah seterusnya, sama ada kita hendak meneruskan.
“Saya rasa pasukan-pasukan SMART daripada negara-negara lain pun boleh dikatakan akan baliklah, keluar daripada Nepal kerana tidak ada apa yang boleh dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, usaha mencari mangsa masih dilakukan pihak berkuasa Nepal berikutan keadaan di lokasi yang berdepan timbunan lumpur dan pasir yang begitu tebal.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ada rumah dan bangunan yang ditenggelami sepenuhnya.
“Pasukan keselamatan dan penyelamat Nepal akan menguruskan dan jika mereka perlukan bantuan daripada Malaysia, kita boleh menimbangkan dengan baik agar kita dapat memberikan bantuan kerja-kerja penyelamat ataupun kerja-kerja mencari,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia mempunyai last ping daripada telefon rakyat Malaysia yang hilang bagi mengenal pasti lokasi terakhir mereka.
Katanya, lokasi berkenaan merupakan kawasan yang teruk terjejas akibat bencana tersebut. – UTUSAN
The post Pasukan SMART dijangka pulang hari ini atau esok appeared first on Utusan Malaysia.





