KUALA LUMPUR - Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dijangka pulang ke Malaysia sama ada Sabtu atau Ahad selepas menjalankan operasi mencari dan menyelamat susulan banjir dan tanah runtuh yang melanda Nepal.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan seterusnya akan ditentukan selepas laporan dan penilaian dibuat oleh SMART dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Biar Pasukan SMART ataupun NADMA yang akan memberikan laporan dan membuat penilaian apa tindakan seterusnya.
“Supaya kita tidak terburu-buru dan tidak membuat keputusan yang terburu-buru,” katanya ketika ditemui di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini pada Sabtu.
Mohamad berkata demikian bagi mengulas perkembangan operasi pasukan SMART bagi mencari 55 rakyat Malaysia masih hilang dalam kejadian di negara berkenaan.
Menurut Mohamad, pihak berkuasa Nepal setakat ini tidak berhasrat menamatkan operasi mencari dan menyelamat kerana masih terdapat kira-kira 5,000 orang yang belum dapat dikesan.
Katanya, usaha mencari masih dijalankan berikutan terdapat timbunan lumpur dan pasir yang tebal sehingga menyebabkan rumah serta bangunan tertimbus sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia juga sedang berunding bagi membolehkan pakar DNA dihantar ke Nepal atau sampel DNA mangsa dibawa ke Malaysia untuk proses padanan dengan ahli keluarga terdekat.
Menurutnya, Nepal berdepan kekurangan fasiliti, kekurangan peralatan dan kemudahan berkaitan.
“Jadi kita juga melalui Kedutaan, kita minta supaya jika boleh pihak keselamatan Nepal dapat menghantar sampel juga ke Malaysia, ke Kuala Lumpur, untuk kita buat pemadanan dengan ahli-ahli keluarga terdekat yang telah diambil sampel-sampel DNA,” katanya.





